Kinabalu Jaguar dapat tiga penaja

Kinabalu Jaguar FC wajar diberi perhatian oleh peminat bola sepak tempatan selepas kelab yang baru didaftarkan itu terus bijak mengorak langah menjadi pasukan profesional.

Terbaru, kelab tersebut mengumumkan mereka telah berjaya mendapatkan sokongan dan tajaan tiga penaja tempatan, yakni Market Tokow Cynthia V Ge, Ararat Sports & Souvenirs Sdn. Bhd dan jenama pakaian Carino.

Menurut kenyataan ringkas kelab tersebut di media sosial rasminya, Carino hadir sebagai penaja utama untuk jersi latihan kelab tersebut.

Ini sekaligus memberi bayangan bahawa Carino mungkin bakal menjadi jenama jersi utama kelab yang bertapak di Kota Kinabalu, Sabah itu.

Menariknya, Carino juga merupakan jenama yang telah digunakan kelab Sabah FC apabila ianya masih digelar Sabah FA.

Kebolehan kelab kecil ini mendapatkan tajaan pada awal permulaan kelab tersebut sememangnya sesuatu yang perlu mendapat pujian, khususnya dengan Sabah kini dilihat berdepan musim bola sepak yang tidak menentu ekoran wabak Covid-19.

Jika perancangan Kinabalu Jaguar diambil kira, tidak hairanlah kelak jika kelab ini mampu menjadi antara kelab yang mempunyai jenama paling utuh di Borneo memandangkan proses penjenamaan kelab tersebut nampaknya amat strategik dan terancang.

Apapun, masa akan memberi gambaran sebenar kebolehan Kinabalu Jaguar dari segi penjenamaan mahupun aksi di atas padang.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top