Kerajaan Malaysia tidak membenarkan aksi Liga Malaysia disambung sekaligus meleburkan hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyambung saingan Liga Malaysia (Liga M).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sebarang perhimpunan beramai-ramai termasuklah aksi bola sepak tetap tidak dibenarkan sekalipun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
Menurut Ismail Sabri, hal ini adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP).
“Bola (sepak) tidak boleh main secara berseorangan dan mesti ada pasukan. Kalau dua pasukan, sudah lebih ada 22 dua orang di atas padang.
“Bola (sepak) tidak seperti badminton di mana sebelah sana (pemain) tidak bertemu dengan sebelah sini. (Bola sepak) mungkin berlaku sentuhan secara fizikal antara satu sama lain.
“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), tentu sahaja kita tidak boleh benarkan pertandingan bola sepak diadakan walaupun selepas PKP sekalipun,” katanya pada sidang media berhubung pelaksanaan PKP, hari ini.
Dalam masa sama, Ismail menjelaskan beberapa SOP baharu akan diperkenalkan selepas ini apabila tempoh PKP ditamatkan.
“Kalau PKP ditamatkan hari ini misalnya, esok tidak bermakna rakyat boleh terus bergerak bebas seperti hari sebelumnya. Tentu sahaja ada SOP lagi yang akan kita perkenalkan dan perlu dipatuhi.
“Sebagai contoh, kita sebutkan bahawa perhimpunan beramai-ramai tidak dibenarkan dan ia adalah perkara yang akan terus kita kekalkan selepas PKP tamat. Jadi kita tidak benarkan lagilah setakat ini.
“Cuma berapa lama tempoh SOP itu akan kekal, kita akan umumkan kerana sekarang Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang sediakan SOP selepas PKP tamat,” katanya.
Sebelum ini, MFL dan FAM telah mengesahkan mereka sudah bersedia untuk meneruskan saingan Liga Malaysia dan telah mendapatkan nasihat agensi berkaitan untuk menyambung aksi liga domestik terbesar Malaysia itu.