MASALAH NAMA ‘HARIMAU MALAYA’
Umum tahu bahawa pasukan Malaysia diberi gelaran ‘Harimau Malaya’, namun masih ramai lagi peminat bolasepak Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak, tersalah tafsir akan nama tersebut dengan mengaitkannya dengan sentimen ‘anti-Semenanjung’.
Pada amnya, mereka beranggapan bahawa Harimau Malaya bermaksud pasukan tersebut adalah kepunyaan orang Semenanjung Malaysia, yang kerap kali digelar sebagi ‘orang Malaya’ sejak dari zaman sebelum merdeka lagi. Tanggapan tersebut diperkuatkan lagi dengan ketiadaan pemain Sabah dan Sarawak di dalam senarai akhir pemain pasukan kebangsaan.
Di sini, kami bukanlah ingin mengapi-apikan pemilihan pemain dan juga nama Harimau Malaya tersebut, tetapi sekadar memberi sedikit input dan fakta yang saya ketahui berdasarkan maklumat yang saya perolehi secara atas talian (online).
ASAL & ASAS KEPADA ‘HARIMAU MALAYA’
Jika kita perhatikan, hampir semua pasukan kebangsaan di dunia diberikan nama timangan berasaskan binatang yang unik kepada negara tersebut seperti Australia yang menggunakan kangaroo, Thailand yang menggunakan gajah, dan Singapura yang menggunakan lambang Singa. Pemilihan nama timangan tersebut, atau binatang yang melambangkan negara atau pasukan bolasepak sesebuah negara berkait rapat dengan sejarah penubuhan negara tersebut, dan bukanlah dibuat secara suka-suka. Sungguhpun demikian, binatang yang dipilih haruslah ada sifat ‘lokaliti’ atau ada kaitan dengan penemuan dari segi sejarah, seperti juga bagaimana Singapura mendapat namanya dari seorang putera yang bernama Sang Nila Utama.
Dalam pada itu, di Malaysia, binatang yang unik kepada kita di Malaysia adalah Harimau Malaya (nama saintifik (Panthera tigris jacksoni), yang merupakan cabang kepada kumpulan harimau di dunia. Dari bacaan beberapa sumber, pemilihan nama ‘Harimau Malaya’ adalah disebabkan harimau tersebut hanya diperolehi di kawasan Malaya, termasuk beberapa bahagian kecil di Semenanjung Thailand.
Nama timangan seperti Harimau Malaya membawa seribu erti berkenaan keupayaan sesebuah pasukan bolasepak kerana nama timangan dianggap sebagai cara mudah untuk melambangkan keupayaan sesebuah pasukan, di mana dalam kes ini pasukan kebangsaan Malaysia dilihat seperti Harimau Malaya yang tangkas, gagah dan laju.
Tambahan pula, kelibat Harimau Malaya sudah sinonim dengan Malaysia dimana ianya kelihatan pada hampir semua lambang rasmi Malaysia seperti Jata Negara, Persatuan Bolasepak Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan banyak lagi.
TAMBAHAN PADA 21 Disember 2014: Suka juga kami tambah bahawa nama timangan ini juga diambil dari era 50-an, apabila Presiden Indonesia, Presiden Sukarno mengelar semangat seorang pemain Malaya (pada ketika itu) bernama Dollah Don sebagai ‘Harimau Malaya’. Cerita ini boleh dibaca di blog ini.
KENAPA ‘HARIMAU MALAYA’ & BUKAN ‘HARIMAU MALAYSIA’?
Sungguhpun demikian, ramai beranggapan bahawa pasukan bolasepak Malaysia haruslah dipanggil ‘Harimau Malaysia’ kerana mereka merasakan ianya lebih inklusif terhadap Sabah dan Sarawak. Jika anggapan mereka ini diambil kira dan digunakan, maka nama timangan Malaysia di arena bolasepak akan diwakili sebuah haiwan mitos yang tidak wujud. Ini adalah kerana, nama ‘Harimau Malaysia’ tidak melambangkan apa-apa binatang yang wujud di dunia, dan ianya juga tidak membawa sebarang pemberat kepada penubuhan Malaysia.
Mungkin ada yang membandingkan penggunaan nama timangan mitos sebegini dengan Indonesia yang mana menggunakan nama ‘Garuda’, yang dianggap sejenis burung mitos. Sungguhpun demikian, kajian kami mendapati bahawa ‘garuda’ yang digunakan oleh Indonesia ada kaitan dengan pengaruh agama Hindu dan Buddha dan rekaan garuda yang digunakan di Indnesia dipengaruhi burung Helang Jawa. Pengaruh Hindu dan Buddha di dalam ‘Garuda’ menyebabkan ianya mempunyai nilai tersendiri, tidak sama seperti Harimau Malaysia yang sememangnya tidak wujud di dalam mana-mana agama atau peradaban.
KENAPA KITA HARUS MENERIMA ‘HARIMAU MALAYA’
Harimau Malaya merupakan sebuah binatang yang unik kepada Malaysia, dan ianya adalah seekor binatang yang terkenal dengan ketangkasannya dan kehebatannya. Pemberian nama ‘Harimau Malaya’ tidak sama sekali menidakkan penglibatan penduduk Sabah dan Sarawak di dalam pasukan kebangsaan, apakah lagi sengaja mensabotaj perkembangan bolasepak di kedua-dua negeri. Pemilihan nama tersebut dilihat sebagai satu cara untuk meraikan keunikan yang terdapat di Malaysia, dan sekaligus mengaitkannya dengan kehebatan pasukan bolasepak kita.
Penggunaan haiwan lain seperti badak, gajah, kenyalang, buaya dan sebagainya juga tidak bertepatan kerana binatang-binatang ini tidak unik kepada Malaysia, terutama dari segi penamaan saintifik. Pemilihan sebarang nama timangan seperti yang berlaku kini di kalangan pasukan negeri atau kelab-kelab di Malaysia juga tidak sesuai dijadikan sandaran penilaian kerana pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia membawa nama sebuah negara, dan bukan sebuah kelab seperti Johor Darul Ta’zim, PKNS, NS Matrix, Sime Darby dan banyak lagi.
Dalam pada itu, usahlah kita sebagai warga Sabah dan Sarawak mempertikaikan pemilihan nama ‘Harimau Malaya’ sebagai nama timangan pasukan kebangsaan kerana terdapat isu yang lebih besar lagi dari nama tersebut, yakni, kekurangan anak watan muda Sabah atau Sarawak di dalam skuad negeri masing-masing, yang sekaligus akan mengakibatkan peluang mereka beraksi di peringkat kebangsaan semakin tipis.