Gelaran ‘penyokong lalang’ telah lama wujud, namun ianya mendapat perhatian pada tahun 2013 apabila wujud segelintir peminat yang gemar membuat perbandingan dengan peminat lain berkenaan cara mereka memberikan sokongan mereka kepada salah sesebuah pasukan pilihan mereka.
Umumnya, populariti ‘lalang’ semakin hebat apabila wujudnya kumpulan penyokong yang menggelar diri mereka ‘ultra’ kerana pada resmi pihak ‘ultra’, mereka adalah penyokong sejati.
Dalam pada itu, kami di SarawakCrocs.com, tanpa memberi sokongan kepada mana-mana pihak, ingin memberikan anda sedikit kaedah untuk mengenalpasti penyokong ‘lalang’.
Berikut adalah ciri-ciri umum penyokong lalang:
- Penyokong lalang ibarat lalang di kawasan lapang. Ditiup ke kiri, ke kirilah mereka bergerak, ke kanan ditiup, ke kananlah mereka bergerak. Mereka tiada pendirian dan hanya mengikut arus.
- Penyokong lalang gemar menyertai kumpulan/persatuan penyokong yang dirasakannya popular, tanpa mempunyai usaha untuk menyertai mereka secara rasmi.
- Penyokong lalang hanya akan turun ke stadium apabila pasukan pilihannya sentiasa menang. Jika pasukan tersebut kalah berturut-turut, perbelanjaan dan masa di stadium akan dianggap membazir.
- Penyokong lalang akan sentiasa memberitahu orang lain bahawa dia adalah penyokong sejati dan penyokong nombor satu pasukan tersebut, walaupun beliau tidak diminta berbuat demikian oleh sesiapa.
- Penyokong lalang suka mengejek pasukan yang kalah kepada pasukan sokongannya. Ejekannya akan lebih pedas dan menghina dari penyokong biasa. Biasanya, keangkuhan amat terserlah apabila si penyokong mengejek.
- Penyokong lalang terlalu optimis. Walaupun pasukan tidak sehebat mana, akan dikatakan hebat. Mereka tidak akan mahu mendengar perkataan ‘kalah’ atau ‘mungkin kalah’ kerana dalam minda mereka, kemenangan sahaja yang penting.
- Penyokong lalang akan bermain mercun di dalam stadium semasa perlawanan, dan akan membaling mercun tersebut merata-rata jika tidak berpuas hati atau pada dasar ingin meraikan gol atau kemenangan.
- Penyokong lalang akan mula membuang objek dan sampah ke dalam kawasan padang apabila tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil, atau pasukannya dalam situasi akan kalah.
- Penyokong lalang tidak tahu ‘bila next game’.
- Penyokong lalang akan selalu mencipta dan memberi alasan jika tidak dapat ke stadium (kerana pasukan pilihannya sering kalah), dan akan memaklumkan semua orang sebab tersebut bagi membolehkan semua orang tahu dia tidak dapat ke stadium atas sebab tertentu dan bukan disengajakan.
- Penyokong lalang akan sentiasa cuba memasuki stadium untuk melihat perlawanan dengan cara haram (atau percuma) kerana pada mereka, perbelanjaan pembelian tiket adalah tidak berbaloi.
- Penyokong lalang tidak suka digelar ‘penyokong lalang’ dan akan melenting apabila digelar demikian. Biasanya apabila dituduh penyokong lalang, mereka akan memberi satu penyataan berkenaan pengorbanan dan apa yang mereka lalukan untuk pasukan sokongan mereka.
- Penyokong lalang akan memperkecilkan rakan-rakan yang tidak dapat atau tidak mahu ke stadium
- Penyokong lalang tidak akan merasa ‘sakit hati’ apabila pasukan yang disokongnya kalah, apa lagi ketika kekalahan itu adalah akibat ketidak sempurnaan permainan, dan
- Penyokong lalang akan menidakkan sesiapa yang memberi sokongan tidak seperti mereka kerana pada anggapan mereka, hanya satu cara anda menyokong pasukan anda.
Ingin kami nyatakan bahawa tidak semua penyokong lalang memiliki kesemua 15-ciri di atas, namun jika anda mengenali seseorang yang memiliki lebih dari separuh dari ciri di atas, kemungkianan besar beliau adalah penyokong lalang amat tinggi.
Sungguhpun demikian, suka kami maklumkan bahawa ciri-ciri tersebut adalah andaian dan tidak 100% tepat dan mungkin wujud penyokong sejati yang turut memiliki ciri-ciri berkenaan.
Pada hemah kami juga, mengkritik pasukan pilihan anda bukan bermaksud anda penyokong lalang kerana hanya peminat yang benar-benar mengikuti perkembangan pasukan tersebut akan berani bersuara berkenaan kekurangan dan kebaikan pasukan sokongannya.
Jika penyokong tersebut sering tidak hadir ke stadium/perlawanan atas urusan keluarga, kewangan, mahupun kerja, beliau tidak boleh dikatakan penyokong lalang kerana kita harus beringat bahawa tidak semua kita mempunyai masa untuk ke stadium untuk menyaksikan perlawanan.
Andaian kami di SarawakCrocs.com adalah bahawa seorang penyokong setia sesebuah pasukan bukanlah diukur dengan pengorbanan beliau untuk pasukan sokongannya, tetapi adalah lebih kepada kesetiaan beliau untuk masih menyokong pasukan pilihannya walaupun pasukan tersebut tidak sehebat mana.
Ciri manakah diatas paling tepat? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah!
MAKLUMAN: Artikel ini ditulis berdasarkan andaian dan suka-suka sahaja dan tidak boleh diguna pakai untuk penerbitan akademik. Grafik yang disertakan adalah hanya gambar hiasan.