Nama Sani Anuar (gambar) bukanlah asing di kalangan peminat bolasepak Sarawak FA. Penjaga gol berusia 30 tahun itu sudah seperti sinonim dengan skuad Bujang Senang, dan kini telah disamakan dengan ketangkasan lagenda bolasepak Sarawak, Mazlan Wahid.
Sungguhpun keletihan, Sani masih sempat melayan satu soalan daripada pihak SarawakCrocs.com yang ingin tahu sejauh mana kehadiran Fadzley Rahim mencabar kedudukan beliau sebagai penjaga gol nombor satu Sarawak.
Menurut Sani, kehadiran Fadley adalah satu petanda terbaik untuk pasukan Bujang Senang kerana ianya mewujudkan persaingan yang amat sihat bagi merebut tempat di kesebelasan utama setiap perlawanan.
Tambah Sani lagi, kehadiran persaingan akan secara tidak langsung menaikkan semangat setiap penjaga gol untuk meningkatkan prestasi masing-masing semasa latihan, dan ini adalah sesuatu yang baik untuk pasukan.
Penjaga gol yang berasal dari Selangor itu turut memuji Fazley apabila berkata “Fazley mempunyai ketinggian yang bagus sebagai penjaga gol…dan itu menjadi cabaran untuk saya yang lebih pendek dari beliau”.
Dalam pada itu, Sani turut menegaskan bahawa status beliau sebagai penjaga gol nombor satu Sarawak “hanya wujud buat masa sekarang, tetapi ianya tidak terjamin pada masa hadapan kerana ianya terpulang kepada pemilihan jurulatih”.
Sungguhpun berkata demikian, Sani berpendirian bahawa siapa yang menjadi penjaga gol nombor satu Sarawak tidak penting kerana yang lebih penting adalah individu yang terpilih itu memberikan yang terbaik untuk pasukan.