Kedudukan Ketua Jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto sebagai ketua jurulatih Sabah FC kini dalam bahaya selepas pihak pengurusan kelab tersebut mengeluarkan kenyataan media yang bertajuk ‘Marzuki beri kata dua kepada Kurniawan’.
Walaupun tidak menyatakan bahawa kelab tersebut mungkin akan memecat Kurniawan, kenyataan tersebut jelas mahukan keputusan perlawanan yang lebih positif diberikan oleh jurulatih Indonesia itu.
Sabah yang masih lagi mencari kemenangan pertama di Liga Super, dan Kurniawan telah mengakui bahawa pasukannya kini boleh menekan butang ‘panik‘ ekoran keputusan kurang memberangsangkan dalam Liga Super.
Dalam pada itu, Marzuki Nasir, yang merupakan pengurus pasukan Sabah, menyatakan dalam kenyataan tersebut bahawa pihak pengurusan Sabah FC sangat kecewa dengan tiga kekalahan yang dialami pasukan tersebut dalam Liga Super.
Oleh itu, Sabah FC akan dalam masa terdekat mengadakan satu mesyuarat bagi menilai prestasi Kurniawan dan kemudiannya mengambil keputusan yang perlu untuk kebaikan bola sepak Sabah.
“Ini termasuklah menilai semula dan mendapatkan input berkaitan prestasi pasukan di bawah bimbingannya selepas menerima kehadiran lima pemain import yang sudah beraksi bagi memperkuatkan barisan Sabah FC” kata kenyataan itu.
“Pihak pengurusan akan mengadakan perjumpaan dalam tempoh terdekat untuk meilai semula prestasi tahap kejurulatihan sebelum mengambil sebarang keputusan demi kebaikan dan kepentingan dalam Sabah FC” ulas kenyataan itu lagi.
Sabah FC kini di kedudukan tercorot Liga Super dengan hanya satu mata daripada tiga perlawanan.