Karsten: Persembahan pemain saya mengkagumkan ketika menewaskan Kuching City

Impian Kuching City untuk mara ke peringkat Suku Akhir Piala Malaysia semakin tipis selepas pasukan bimbingan Irfan Bakti itu tewas 5 – 1 kepada Selangor malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Selangor meletakkan diri di hadapan seawal minit pertama melalui pemain importnya Hein Htet Aung.

Kuching City kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-11 selepas sepakan penalti yang dihadiahkan kepada pasukan The Cats itu disempurnakan dengan baik oleh Michael Ijezie.

Selangor walaubagaimanapun terus mengganas dengan jaringan pendahuluan pada babak kedua melalui Ahmad Danial pada minit ke-59, sebelum Safuwan Baraduddin menambah jarak diantara kedua – dua pasukan dengan jaringan penalti pada minit ke-65.

Ahmad Danial terus menambah derita The Cats pada minit ke – 71 dengan satu lagi jaringan mudah, sebelum Sean Selvaraj melengkapkan kemenangan bergaya Selangor pada malam Sabtu itu.

Selepas perlawanan, ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel, mengakui bahawa beliau mempunyai ‘perasaan baik’ sebelum perlawanan menentang Kuching City kerana dua perlawanan persahabatannya sebelum ini membuahkan hasil yang baik.

Karsten juga menyatakan beliau sebenarnya amat kagum dengan pemainnya dalam perlawanan menentang Kuching City kerana beliau telah membariskan pemain – pemain yang muda dan pasukannya telah beraksi dengan baik, khususnya pada babak kedua perlawanan.

“Selepas dua perlawanan persahabatan, saya mempunyai rasa yang baik berkenaan perlawanan ini kerana dalam perlawanan itu kita menentang Sarawak United dan PJ”.

“Pemain bermain dengan baik terutama sekali pada babak kedua.”

“Mereka tidak gelisah dan bermain mengikut cara mereka. Ianya amat mengkagumkan kerana kita banyak pemain muda di atas padang dan saya mengucapkan tahniah kepada pemain dan pegawai.” kata Karsten dalam sidang media selepas perlawanan.

Kekalahan Kuching City itu menyaksikan kelab The Cats itu kini mempunyai peluang yang tipis untuk melayakkan diri ke Suku Akhir Piala Malaysia.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top