Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah yang merupakan Menteri Belia dan Sukan Sarawak telah melahirkan perasaan kecewanya terhadap kegagalan Sarawak United mendapatkan Lesen Kebangsaan.
Beliau dalam satu rakaman video yang dikongsikan oleh SukanSarawak menyatakan bahawa beliau telah meminta Sarawak United berjumpa dengannya, namun mereka (Sarawak United) tidak berbuat demikian.
“Sarawak United, saya telah suruh mereka berjumpa dengan saya, tetapi mereka tidak lagi berjumpa dengan saya.” kata Karim dalam video tersebut.
Menurut Karim, beliau tahu bahawa Sarawak United mempunyai masalah pengurusan, dan telah memberi sedikit nasihat berkenaan hal itu.
Beliau turut menyangkal bahawa Kerajaan Sarawak tidak membantu sukan bola sepak di Sarawak dengan mendedahkan bahawa Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) merupakan persatuan sukan yang menerima peruntukan terbesar dari kementeriannya, dan ianya melibatkan jumlah ‘berjuta – juta ringgit’.
“Saya tahu ada masalah pengurusan di sana. Tetapi seperti saya sebutkan sebelum ini, kalau kita hendak terlibat secara besar, terlibat di peringkat national, anda perlu menguruskan pasukan anda dengan betul. Dari segi pengurusan, dan kewangan.
“Nak kata kerajaan tak bagi duit, berjuta – juta telah diberi.
“Dalam banyak – banyak persatuan sukan di Sarawak, yang mendapat jumlah paling banyak, berjuta – juta ringgit, adalah Persatuan Bola Sepak Sarawak.
“Saya tak mahu dedahkan jumlahnya, tetapi mereka mendapat berjuta – juta.” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Karim juga menyatakan beliau mahu pihak bertanggungjawab jujur terhadap situasi sebenar yang melanda kerana kegagalan berbuat demikian tidak akan menyelesaikan masalah dan akan menambah spekulasi.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan tidak ada berjanji untuk menyelesaikan masalah ekoran kegagalan membayar gaji.
“Bila anda tidak jujur dengan kami, tentang masalah yang anda hadapi, ianya menghasilkan banyak spekulasi.
“Saya Menteri Sukan, anda tidak jumpa saya.
“Saya telah menghubungi mereka, bertanya apa masalahnya.
“Kemudiaan mereka mula memberitahu. Yang mereka beritahu, mereka tak mampu bayar gaji dari awal.
“Itu bukan yang saya mahu. Bagitahu saya dimana masalahnya.
“Bila anda menguruskan pasukan, ada banyak benda anda kena uruskan, banyak gaji yang kena dibayar. Adakah kita menjaga syarikat? Menjaga persatuan dan sebagainya.
“Anda kena praktikal. Kalau tak mampu bayar gaji pemain yang mahal, ambil pemain yang sanggup bermain ikut kemampuan anda. Banyak lagi pemain yang hampir sama bagus dan sanggup bermain dengan gaji yang lebih berpatutan.
“Kalau anda mahu bayar berpuluh ribu, tetapi pada akhirnya anda mula menggaru kepala bertanya di manakah wang?, dan kemudiannya meminta kerajaan membantu anda… itu bukan perjanjian yang kita telah ikat!” kata Karim lagi.