Kapit FA pertimbangkan cadangan memperbesarkan Liga Kapit selepas slot penuh dalam 24 jam

5 JULAI – Persatuan Bolasepak Kapit (Kapit FA) hari ini mengesahkan bahawa kesemua lapan slot untuk Liga Kapit 2017 sudah terisi sepenuhnya, selepas pendaftaran untuk penyertaan liga bolasepak tersebut dibuka kelmarin.

Presiden Kapit FA Kennedy Kuyang memaklumkan bahawa Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menetapkan liga bahagian seperti Liga Kapit hanya boleh menerima lapan pasukan sahaja, namun pihak beliau akan mengadakan perbincangan lanjut untuk menambah lagi pasukan ke Liga Kapit ekoran sambutan luar jangkaan terhadap liga tersebut.

Tambah Kennedy, keputusan samada pihak Kapit FA boleh menerima pasukan tambahan ke Liga Kapit banyak bergantung kepada samada liga tersebut boleh diselesaikan sebelum Piala Sarawak bermula.

Jika hasil perbincangan adalah positif, dua pasukan tambahan akan dibenarkan menyertai Liga Kapit, menjadikan jumlah pasukan yang bertanding menjadi sepuluh.

Kennedy ketika mengulas lanjut berkenaan permintaan penambahan slot untuk Liga Kapit berkata “Sungguhpun infrastruktur bolasepak di Kapit jauh ketinggalan berbanding bahagian lain, prestasi pasukan senior dan belia Kapit FA semakin meningkat dan ini telah menyaksikan minat terhadap bolasepak di bahagian Kapit semakin bertambah. Pasukan Kapit FA juga telah menjuarai Zon C di peringkat Liga Bolasepak Rakyat dan jikalau momentum sebegini diteruskan, Kapit akan mempunyai pasukan di peringkat kebangsaan suatu masa nanti.”

Liga Kapit dijadualkan berlangsung pada 21 Julai ini dengan majlis perasmian disempurnakan pada 22 Julai. Liga dijangka akan dijalankan di Stadium Kapit. – SarawakCrocs.com

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top