Perlawanan peringkat play-off Liga Bolasepak Rakyat Zon Borneo 2 kelmarin menyaksikan kemenangan memihak kepada pasukan tuan rumah Kapit FA yang menentang pasukan pelawat Serian FA dalam perlawanan yang berkesudahan memihak Kapit FA dengan jaringan 2-0.
Namun, kemenangan tersebut ternyata tidak cukup untuk membawa pasukan kendalian Jerraymond Tanny mara ke peringkat kebangsaan Liga Bolasepak Rakyat.
Serian FA, meski tewas dalam perlawanan ini, tetap gah mara ke peringkat kebangsaan Liga Bolasepak Rakyat setelah pasukan Kapit FA gagal untuk menang dengan jaringan 3 gol atau lebih.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Terbuka Kapit itu tadi, Kapit FA membuka jaringan dengan gol menarik oleh penyerang berkaliber mereka, Mohd Ridwan Ghazali pada minit ke-41.
Gol kedua Kapit FA pula dijaringkan menerusi sepakan percuma melencong yang disempurnakan oleh Clifford Unggum.
Kronologi kegagalan Kapit FA mara ke peringkat kebangsaan Liga Bolasepak Rakyat bermula pada 31 Disember 2016 setelah keengganan Limbang FA untuk menerima permohonan Kapit FA yang tidak dapat menghadiri perlawanan sebagai pasukan pelawat atas kapasiti kekurangan pemain yang boleh diturunkan. Kegagalan Kapit FA untuk hadir ke tempat lawan menyaksikan Limbang FA diberikan kemenangan 3-0 percuma.
Pencapaian Kapit FA dalam Liga Bolasepak Rakyat kali ini dilihat sebagai pencapaian terbaik mereka sepanjang penglibatan dalam Liga Bolasepak Rakyat.