Dalam hanya tempoh enam bulan nasib Junior Eldstal berubah sekelip mata, lebih-lebih lagi selepas membantu skuad Harimau Muda menjuarai Pestabola Merdeka 2013.
Penyertaannya ke Sarawak pada April lalu membuka lembaran baru buat pemain tengah ini apabila bukan sahaja membantu Sarawak menjuarai Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah, malah sudah menerima kalungan pingat apabila menjuarai Pestabola Merdeka edisi ke-41.
Junior Eldstal mahu kembali fokus untuk membantu skuad Ngap Sayot dalam baki kempen Watsons Piala Malaysia. Sarawak yang mendahului Kumpulan D akan bertandang ke Jalan Besar pada Rabu ini menentang Lions XII sebelum melengkapkan peringkat kumpulan bertemu Perak di tempat sendiri.
“Kami berasa yakin, tiada pasukan di Malaysia yang menang di sana tetapi Sarawak mempunyai cita-cita tinggi. Kami mempunyai jurulatih, pengurusan dan pemain yang hebat.
“Apa sahaja boleh berlaku untuk Sarawak.
“Saya dalam semangat yang tinggi kerana menang semua perlawanan di sini dan piala. Saya kembali bersama Sarawak (kelmarin) di Kuala Lumpur.
“Saya sudah memikirkan perlawanan akan datang, kejayaan Pestabola Merdeka sudah berlalu. Dalam bola sepak anda mempunyai keutamaan yang lain dan sudah fokus,” jelasnya.
-Astro Arena