Mantan pemain JDT FC, Jorge Pereyra Diaz kini semakin hampir menjadi milik Sabah FC untuk musim 2021.
Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, mengakui Jorge Pereyra Diaz sudah bersetuju untuk menyertai pasukan tersebut, namun masih ada beberapa perkara yang akan diperhalusi dengan ejen pemain itu.
“Keputusan hanya akan dibuat selepas beberapa perkara dimuktamadkan, buat masa ini apa yang saya boleh katakan saya memang berminat dengan dia, corak permainannya sesuai dengan pasukan,” katanya kepada Harian Metro.
Sungguhpun dilihat semakin hampir menjadi milik Sabah FC, Kurniawan menegaskan bahawa disiplin pemain memainkan perkara yang akan juga memperngaruhi keputusan pasukan tersebut untuk memuktamadkan perpindahan pemain itu ke kelab itu.
“Beberapa perkara perlu kita teliti, kita mahu tahu kenapa dia tinggalkan JDT dulu, bagaimana tahap kecergasannya ketika ini, dan adakah beliau cedera atau tidak.” kata Kurniawan lagi.
“Semua ini penting dan proses ini juga terpakai kepada semua pemain import yang kita bercadang untuk mengambilnya kerana kita tidak mahu sebarang perkara negatif berlaku ketika saingan nanti termasuk kecederaan dan sebagainya… kita harus pelajari apa yang berlaku musim lalu.” jelasnya lagi.
Diaz, 30, meninggalkan JDT pada 2018 dan beliau telah sejak itu bermain di beberapa kelab di Amerika Selatan.