Pasukan bolasepak Persatuan Bolasepak Sarawak tewas besar di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos malam ini dengan kedudukan K Rajagobal selaku jurulatih utama Sarawak dilihat semakin berbahaya.
Tuan rumah, yakni Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT FC) tidak perlu menunggu lama untuk meletakkan diri di hadapan apabila Pereyra Diaz berjaya menewaskan penjaga gol Sarawak, Shahril Saári pada minit ketiga perlawanan.
Enggan mengalah, K Gurusamy meletakkan kedudukan kembali sekata bagi kedua-dua pasukan apabila beliau bijak menewaskan Izham Tarmizi pada minit ke-12.
Sarawak yang mula bangkit untuk menyaingi kehebatan JDT kemudiannya tersentak sekali lagi apabila Marcos Antonio meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-35 dengan jaringan cantik melalui tandukan, sebelum Martin Lucero dengan pantas menggandakan kelebihan tersebut seminit kemudian dengan satu larian individu yang disudahkan dengan tolakan mudah bagi gol ketiga JDT.
Derita Sarawak terus bertambah pada minit ke-40 apabila ketua pasukan Sarawak, Shahrol Saperi tertampan bola masuk ke gawang sendiri, sekaligus meletakkan Sarawak terus ketinggalan 1-4 kepada tuan rumah.
Sebelum babak pertama tamat, Fazly Mazlan memastikan pasukan bimbingan Mario Gomez terus selesa dengan rembatan deras dari sebelah kiri pintu gol Sarawak, sekaligus meletakkan Sarawak teruk ketinggalan 1-5 pada pengakhiran babak pertama.
Bersambung babak kedua, Sarawak cuba bangkit namun kekuatan pasukan juara Piala AFC 2015 adalah terlalu nyata dengan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT pada minit awal babak kedua.
JDT yang tampak akan melebarkan jurang gol walaupun kecewa apabila Safiq Rahim gagal menyempurnakan sepakan tersebut.
Pasukan bimbingan K Rajagobal akhirnya berjaya juga menambah jaringan pada minit ke-59 apabila Fadhli Shas tertanduk bola ke gawang sendiri bagi merapatkan sedikit jurang gol kedua-dua pasukan.
JDT terus menguasai perlawanan selepas itu, namun kedua-dua pasukan terus buntu mencari gol sekaligus menyaksikan perlawanan tamat dengan kedudukan 5-2, memihak kepada JDT.
Untuk rangkuman perlawanan, sila lihat video di bawah: