Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dinobatkan sebagai juara Superbest Power Piala FA malam tadi selepas menewaskan pasukan PKNS FC di dalam satu perlawanan yang menarik di Stadium Shah Alam.
Di dalam perlawanan tersebut, keampuhan barisan JDT sememangnya sukar dipertikai apabila mudah melancarkan serangan ke atas pasukan PKNS yang berjersi oren.
PKNS FC mendahului seawal minit keenam apabila Gabriel Miguel Guerra menyempurnakan sepakan penalti setelah beliau dijatuhkan pertahanan JDT.
Kapten JDT, Safiq Rahim berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-16 menerusi sepakan penalti setelah Jorge Pereyra Diaz dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh penjaga gol PKNS FC, G Jeevanathan.
Diaz kemudian menggandakan kedudukan untuk JDT pada minit ke-35 setelah memanfaatkan keadaan kelam kabut yang berlaku di dalam kawasan pintu gol PKNS FC dan keputusan 2-1 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
Pada awal babak kedua, hujan lebat gagal menjejaskan rentak JDT yang meneruskan serangan bertali arus ke kubu PKNS FC untuk menambahkan jaringan. Sungguhpun demikian keputusan 2-1 itu kekal sehingga tiupan wisel oleh pengadil Syed Azhar Syed Kamar.
Selain kejuaraan Piala FA, pasukan JDT turut menerima anugerah berganda apabila Diaz turut dianugerahkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Kerajaan Negeri Johor selepas itu mengumumkan bahawa hari Isnin Isnin adalah cuti umum bagi meraikan kejuaraan tersebut.
MAKLUMAN RALAT: Pihak kami memohon maaf atas ralat hari cuti. Sepatutnya cuti di Johor adalah pada Hari Ahad.