Juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan kejuaraan berganda di dalam liga bola sepak domestik Malaysia dengan menjulang Piala Malaysia malam ini tadi.
JDT menewaskan Kedah FA 3-0 dalam aksi final Piala Malaysia 2019 yang dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan di hadapan 82,000 penonton, dengan tandukan Aidil Zafuan Radzak pada minit ke-empat nyaris menerjah jaring.
Kedua-dua pasukan kemudiannya mempamerkan aksi agak keras di atas padang, namun kemasukan Syafiq Ahmad pada minit ke-25 perlawanan jelas menukar rentak perlawanan memihak JDT.
Syafiq yang masuk menggantikan Diogo Lois, jelas menjadi tunjang kepada JDT apabila membuat hantaran penting yang menyumbang kepada gol pertama JDT oleh Leandro Velaquez pada minit ke-26.
Safawi Rasid melebarkan jurang gol untuk JDT pada minit ke-34 apabila beliau merembat cantik satu sepakan percuma yang gagal diselamatkan Ifwat Akmal.
Safawi sekali lagi mencemaskan gawang Kedah pada minit terakhir babak pertama namun cubaan beliau ditepis keluar oleh Ifwat.
Pada babak kedua, JDT meneruskan asakan bertali arus ke gawang Kedah dan Syafiq menanduk masuk gol ketiga JDT pada minit ke-59.
Kedah cuba bangkit selepas itu, namun JDT terus ampuh bertahan sekaligus menyaksikan JDT menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2019 dengan kemenangan bergaya, 3-0.
Ini adalah kali kedua JDT menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Kedah. Kali pertama JDT menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Kedah adalah pada final 2017, yang mana menyaksikan JDT menang 2-0.