JDT akur kualiti penyerang import Kedah FA

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan kualiti yang ada pada penyerang import, Diogo Luis Santo setanding dengan gandingan penyerang terbaru Kedah, Kpah Sherman dan Tchetche Kipree menjelang CIMB Piala Sumbangsih 2020, malam esok.

Sherman selaku penjaring terbanyak CIMB Liga Super 2019 dan Kipre penjaring terbanyak edisi 2018 dilihat akan menjadi senjata terbaik barisan hadapan pasukan Kedah untuk mengatasi JDT dalam pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim.

Walaubagaimanapun, Mora menganggap kehadiran dua penyerang import berkenaan tidak akan menggugat perancangan JDT kerana kekuatan yang dimiliki oleh Diogo juga sama hebat untuk memberi tekanan kepada lawan.

“Saya tidak menafikan kualiti yang ada pada Sherman dan Kipre yang akan memperkuatkan serangan Kedah.

“Tetapi kami juga ada Diogo yang mana kami boleh katakan dia juga antara penyerang terbaik dalam pasukan ini untuk memberi tentangan sengit kepada lawan.

“Sebelum ini kami memang pernah berdepan dengan kekuatan yang ada pada Sherman dan Tchetche, dan saya boleh katakan mereka memang penyerang yang merbahaya.

“Untuk JDT, kami sudah mengkaji apa yang sepatutnya dan semua pemain perlu lakukan apa jua yang termampu untuk mengekang asakan mereka,” jelasnya.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak pula percaya anak buahnya perlu menyesuaikan diri dengan padang di stadium baharu skuad Harimau Selatan itu secepat mungkin memandangkan mereka belum pernah menguji keadaan di venue tersebut.

Beliau tidak menolak padang dan rumput di stadium serba canggih itu memang berbeza dan mereka perlu memastikan apa jua keadaan di venue tersebut tidak akan merencatkan pergerakan pemain.

“Hari ini kami tidak berpeluang lagi untuk menguji padang di stadium ini dan saya tidak boleh nak memberi pendapat lagi bagaimanakah agaknya keadaan rumput di situ.

“Tetapi sudah pasti, apa jua keadaan itu, kami sendiri kena bijak menyesuaikan diri dan tiada alasan untuk pemain anggap keadaan rumput dan padang yang berlainan di stadium itu akan menjadi satu masalah kepada pasukan untuk beraksi”,

“Yang penting, saya tahu JDT mempunyai padang yang cukup berkualiti dan antara yang terbaik di Asia Tenggara dan saya mahu pemain gunakan peluang ini untuk beraksi sebaik mungkin menentang pasukan hebat seperti JDT”, katanya.

Pertembungan antara JDT dan Kedah akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim yang baru sahaja dirasmikan pada Sabtu lalu di mana perlawanan ini akan menjadi aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2020.

Kali terakhir Kedah menjulang trofi Piala Sumbangsih adalah pada tahun 2017, sebelum JDT kekal sebagai juara bertahan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top