Jawatankuasa tatatertib FAM denda tiga pasukan dan satu pemain

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengenakan denda terhadap tiga pasukan dibawah naungannya, dan seorang pemain akibat melanggar peraturan yang termaktub di dalam Kod Tatatertib FAM 2015.

Mengikut keputusan FAM, Persatuan Bolasepak Perak didenda sebanyak RM25,000.00 dan bermain satu perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri kerana berlakunya kekecohan yang di luar stadium selepas tamat perlawanan Liga Super 2016 antara pasukan Perak menentang pasukan Selangor di Stadium Ipoh, Perak pada 16 Februari 2016.

Perak walaubagaimanapun tidak perlu melaksanakan hukuman bermain tanpa penonton kerana diberi tempoh percubaan selama enam bulan seperti yang telah diberikan kepada pasukan Sarawak musim lalu. Jika kesalahan sama berulang di dalam tempoh tersebut, Perak akan diarahkan bermain tanpa penonton selama dua perlawanan.

Pasukan kedua yang didenda oleh FAM adalah Sarawak, yang mana mereka didenda RM25,000.00 akibat tindakan penyokong pasukan Sarawak yang telah membakar mercun, melontar objek ke dalam trek dan melontar batu ke arah bas pasukan Felda United serta kereta pegawai perlawanan selepas tamat perlawanan Liga Super 2016 antara pasukan Sarawak menentang pasukan Felda United di Stadium Negeri, Kuching pada 16 Februari 2016.

Hukuman Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) lebih berat lagi apabila dikenakan hukuman tambahan bermain dua perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri. Ini adalah kerana kekecohan yang ditimbulkan oleh penyokong Sarawak adalah kesalahan kedua di dalam tempoh enam bulan, selepas diberikan peluang semasa FAS didenda buat kali pertama musim lalu.

Ini sekaligus akan menyaksikan Sarawak bermain tanpa kehadiran penyokong apabila bertemu Kedah dan T-Team pada 12 Mac dan 9 April kelak.

Tindakan penyokong pasukan Selangor yang telah membakar suar semasa perlawanan Piala FA 2016 antara pasukan AirAsia Allstars FC menentang pasukan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 19 Februari 2016 juga telah mengakibatkan satu lagi pasukan didenda. Disebabkan kejadian tersebut, Persatuan Bolasepak Selangor didenda RM10,000.00.

Akhir sekali, Jawatankuasa Tatatertib FAM telah menggantung pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Amirul Hadi Zainal untuk dua perlawanan kerana berkelakuan ganas terhadap pemain UiTM FC semasa perlawanan Piala FA 2016 antara pasukan UiTM FC menentang pasukan JDT di Stadium UiTM, Shah Alam pada 19 Februari 2016.

Kesemua pasukan, termasuk Amirul Hadi telah diberi amaran keras oleh FAM.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top