Jadual perlawanan persahabatan Sarawak di Indonesia terumbang ambing

Selepas mendapati perlawanan menentang pasukan Persib Bandung terbatal akibat ketiadaan permit, perlawanan persahabatan Sarawak di negara jiran Indonesia kelihatan semakin tidak terancang apabila jadual perlawanan yang diumumkan pada awalnya seolah-olah tidak dapat diikuti.

Penyelidikan kami di media Indonesia rata-rata mendapati wujud percanggahan penjadualan perlawanan dimana beberapa pasukan yang tidak disenaraikan tiba-tiba tersenarai, dan laman web utama pasukan yang disenaraikan tidak memberi sebarang kemaskini berkenaan perlawanan menentang Sarawak.

Hal ini amat menggusarkan kerana media Indonesia dan peminat bolasepak Indonesia sememangnya amat terkenal dengan ikutan fanatik berkenaan pasukan kesayangan mereka.

Tambah mengelirukan adalah kenyataan laman Goal.com Indonesia yang memetik jurulatih Persebaya Surayaba, Rahmad Darmawan sebagai berkata bahawa perlawanan Sarawak menentang kelabnya, yang dijadualkan hari ini belum diluluskan kerana Sarawak hanya ingin di Stadion Gelora Bung Tomo (GBT) atau Stadion Gelora, Surabaya, yang mana memerlukan permit polis.  Rahmad menambah bahawa permit polis sukar diperolehi kini akibat pilihanraya yang sedang berlangsung di republik tersebut.

Sumber sama (Goal.com Indonesia) hari ini turut menyebut bahawa tidak ada perlawanan dijadualkan untuk Persebaya Surabaya pada 23 Julai, yakni tarikh sepatutnya Sarawak dikatakan akan bertemu pasukan Indonesia tersebut.

Sumber Sulapos pula menyatakan bahawa Sarawak dijadualkan menentang Arema Malang pada 24 Julai (esok), namun belum ada keputusan rasmi dibuat berkenaan perlawanan ini.

Mengikut laman tersebut, pihak promosi pasukan Sarawak telah dihubungi berkenaan keinginan Arema untuk menentang Sarawak, namun belum ada maklum balas dari pihak pengurusan Sarawak FA.

Sumber Boyalalipos.com pula menyatakan bahawa pihak Arema telah membatalkan niat untuk berdepan Sarawak kerana kurang berpuas hati dengan beberapa perkara khususnya yang berkaitan perniagaan kelab tersebut.

Sarawak turut dijangka bertemu PSIS Semarang pada 24 Julai, namun tidak ada berita berkenaan perlawanan tersebut kami perolehi dari mana-mana sumber Indonesia.

Dengan polisi pihak FAS yang hanya mahu mengeluarkan berita berkenaan bolasepak Sarawak kepada media cetak, nampaknya kimi hanya mampu menunggu sehingga berita rasmi disiarkan di akhbar tempatan bagi mengetahui perkembangan perlawanan persahabatan Sarawak di Indonesia.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top