Setelah lama memeram rahsia, akhirnya hari ini nampak juga logo kelab bola sepak Sarawak United.

Logo pasukan yang kini diberi gelaran ‘media shy’ oleh ramai pengamal media ekoran sikap tidak membenarkan sebarang liputan berkenaan pasukan tersebut dibuat akhirnya terpampang di dalam video yang dikeluarkan oleh pihak Malaysia Football League (MFL) di dalam majlis pelancaran Liga Malaysia 2020.

Walaupun belum ada kenyataan rasmi berkenaan logo ini sebagai logo rasmi Sarawak United, namun pada hemah kami, tidak patut pihak MFL menggunakan logo yang belum sah untuk majlis besar seperti pelancaran Liga Malaysia.

Tambahan pula, logo tersebut sudah siap diubahsuai dengan nama ‘Sarawak United FC’, dan jika ianya bukan logo rasmi, mengapa tidak guna sahaja logo FAS?

Apapun, logo Sarawak United nampaknya terhasil daripada pengubahsuaian logo lama Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

Ianya menampakkan ciri-ciri logo lama dengan perubahan dilihat dari segi warna dan jenis tulisan yang dipilih.

Antara yang ketara adala warna keemasan pada bingkai (crest) logo, dengan nama ‘Sarawak United FC’ menggantikan nama ‘Persatuan Bolasepak Sarawak’. Tulisan Sarawak United juga menggunakan tulisan ‘futuristic’ yang agak sukar dibaca.

Di atas crest tertulis perkataan EST 2020.

Kami tidak mahu komen berkenaan logo ini, namun kami berikan anda ruang dan peluang untuk memberi komen membina anda berkenaan kehebatan logo baharu Sarawak United ini.

Untuk rekod, Sarawak United akan diwakili oleh pasukan Sarawak United A (SUA) di Liga Premier, Sarawak United B (SUB) di Liga M3, Sarawak United C (SUC) di pertandingan Piala Presiden dan Sarawak United D (SUD) di Piala Belia.

Pasukan ini terhasil apabila FAS menjenama semula pasukan Selangor United FC dan memindahkan pasukan tersebut ke Kuching bagi mewakili Sarawak.