Melihat kepada kejutan yang dilakukan kelab Liga Perdana di peringkat kumpulan unifi Piala Malaysia 2018, mengingatkan kembali zaman gemilang Sarawak FA di tahun 2013.
Muncul sebagai juara Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah, Sarawak FA diundi bersama juara Liga Super, Lions 12, Perak dan juga Kedah dalam kumpulan D Piala Malaysia 2013.
Memulakan rentak dengan perlahan apabila tewas 2-1 di tangan Perak, Sarawak FA langsung bangkit dan berjaya menjadi juara kumpulan sekaligus layak ke suku akhir.
Di suku akhir, Sarawak bertemu musuh Liga Perdana, Sime Darby FC. Di Selayang, kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan namun di Kuching, Muamer Salibasic meledak hattrick bagi membantu Sarawak layak ke semi final dengan aggregat 3-1.
Semua rakyat Sarawak teruja dan berbangga dengan pencapaian ini. Penyokong pasukan Sarawak FA memainkan peranan penting untuk mewujudkan keadaan yang menakutkan pihak lawan. Stadium Negeri bergema dengan sorakan padu ‘demi ibu pertiwi’.
Berhadapan 40,000 penyokong fanatik Pahang di Darulmakmur, Sarawak FA berjaya mengekang asakan awal Pahang. Namun 3 gol dalam tempoh 8 minit merencatkan semangat Sarawak untuk ke final. Namun Sarawak berjaya juga membawa bekalan satu gol di tempat lawan menerusi Sharol Saperi.
Pusingan kedua di Kuching, sekali lagi penyokong pasukan Sarawak FA berjaya menjadikan Stadium Negeri umpama neraka. Pemain Sarawak bermain mati-matian untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 2 gol.
Bobby Gonzales berjaya merapatkan jurang dengan satu gol di separuh masa pertama. Namun ketika Sarawak melancarkan serangan bertali arus, pasukan Pahang berjaya menjaringkan satu gol berharga untuk melayakkan mereka ke final sekaligus bergelar juara.
Ramai peminat Sarawak yang kecewa kerana gagal ke final. Namun disebalik itu, mereka semua berbangga dengan pencapaian pasukan Sarawak untuk musim 2013. Semua mata peminat bola sepak tertumpu kepada Sarawak ketika itu.
Sungguhpun demikian, itulah 2013 yang mana merupakan kali terakhir Sarawak menggegar kempen Piala Malaysia. Kini, keadaan amat berbeza dengan persoalan, bilakan 2013 akan menjelma semula? – SARAWAKCROCS.COM/JJF