Nama Bobby Gonzales sememangnya tidak asing lagi biarpun usianya kini sudah semakin ‘besar’.
Penyerang berpengalaman itu sudah puas berkelana ke serata Malaysia dengan Sarawak menjadi antara pasukan kegemaran untuk diwakilinya.
Sungguhpun demikian, tahukah anda bahawa Bobby sebenarnya telah membantu pasukan yang disertainya naik ke Liga Super sebanyak tiga kali sepanjang karier bola sepak profesional beliau?
Semuanya bermula dengan pasukan Sarawak FA pada tahun 2011, apabila pemain Sabah itu dipinjamkan ke Sarawak untuk satu musim.
Pada ketika itu, Bobby berjaya menjaringkan 16 gol dari 21 perlawanan, dan telah membantu pasukan Sarawak pada ketika itu muncul sebagai pasukan kedua di Liga Premier.
Ini sekaligus menyaksikan Sarawak FA mendapat tempat automatik ke Liga Super pada musim berikutnya. Pada tahun 2012, Bobby telah kembali ke Sabah.
Pada tahun 2013, Bobby sekali lagi kembali ke Sarawak dan gandingan beliau bersama Muamer Salibasic menyaksikan Sarawak yang tersingkir ke Liga Premier pada tahun 2013, sekali lagi berjaya melayakkan diri ke Liga Super secara automatik pada tahun 2014.
Pada kali ini, Bobby menjaringkan 28 gol dari 35 perlawanan sepanjang musim, dengan 21 gol dari jumlah tersebut hadir dari perlawanan Liga Premier.
Kali ketiga Bobby membantu pasukan yang disertainya adalah pada tahun ini (2020).
Beliau berhijrah dari Sarawak FA ke Pulau Pinang, dan kini telah membantu pasukan tersebut naik ke Liga Super pada musim hadapan selepas Pulau Pinang merangkul kejuaraan liga.
Biarpun bukan pemain utama kerana usianya yang kian meningkat, Bobby membuktikan beliau masih mempunyai taring untuk bersaing dengan pemain muda selepas berjaya menjaringkan gol pada malam tadi.
Bukan itu sahaja, Bobby juga telah dinobatkan penjaring terbanyak bagi pemain domestik sebanyak dua kali sebelum ini apabila berliau bersama pasukan Sarawak.
Semoga kejayaan Bobby akan menjadi mangkin kepada anak muda lain untuk terus berjaya di dalam arena bola sepak mereka.
Kepada Bobby, Tahniah!