Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin hari ini secara sebulat suara telah dilantik sebagai Presiden baharu Malaysia Football League (MFL).
Beliau mengantikan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang memegang jawatan tersebut sebelum ini.
Perubahan tampuk kepimpinan MFL hadir selepas pemegang taruh MFL bersetuju meminda perlembagaan MFL di mana status jawatan pengerusi ditukar kepada presiden dengan pemegang jawatan tersebut tidak terikat kepada mana-mana kelab atau pasukan Liga Malaysia.
Tunku Ismail sebelum ini merupakan pemilik pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDTFC).
Menurut kenyataan akhbar MFL, pemilihan Hamidin mendapat persetujuan semua pihak, dan Hamidin sendiri merasakan pemilihan beliau sebagai satu penghormatan besar.
Beliau dipetik sebagai berkata “Ini satu penghormatan besar diberikan oleh semua pemegang taruh MFL dan dalam masa yang sama cabaran berat untuk saya pikul. Saya akan berusaha untuk memegang amanah ini dengan baik namun saya mengharapkan sokongan padu semua pihak untuk bergerak sama melaksanakan gagasan yang sudah diasaskan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail.
“Saya sebenarnya berat untuk memikul jawatan ini tetapi atas kepercayaan yang diberikan daripada Rakan Kongsi Liga dan demi stabilkan keadaan untuk bola sepak negara, saya bersetuju dengan pemilihan ini,” katanya.