Jurulatih bola sepak berpengalaman, Hakimi Man telah menafikan bahawa beliau akan dilantik menjadi Ketua Jurulatih Pasukan Piala Belia Sarawak FA yang bakal bertapak di Miri musim hadapan.
Hakimi yang dihubungi SarawakCrocs berkata beliau belum ada menerima sebarang jemputan dari pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) berhubung jawatan tersebut dan tidak merasakan beliau akan dilantik ke jawatan tersebut dalam masa terdekat.
Hakimi berkata tanggungjawab sebagai jurulatih pasukan Sarawak amat besar dan beliau sendiri akan menawarkan diri apabila sudah bersedia kelak.
Beliau berkata “Menjawat jawatan sebagai Ketua Jurulatih Sarawak satu tugas yang amat berat kerana ianya adalah tanggungjawab untuk menaikkan imej negeri dan memikul harapan tinggi peminat.”
“Apabila tiba masanya pasti saya sendiri akan menawarkan diri jika saya benar-benar telah bersedia dengan ilmu berpengetahuan yang mendalam.”
“Biarpun saya teruja untuk mengalas tugas tersebut tapi saya kira belum tiba masanya utk saya ke sana.”
Dalam pada itu, Hakimi turut merasakan spekulasi beliau bahawa beliau dilantik sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Belia Sarawak FA adalah satu perkara biasa dan beranggapan dunia bola sepak sememangnya banyak spekulasi.
Hakimi yang merupakan antara jurulatih terkenal di Sarawak atas kejayaannya di peringkat Sarawak dan Malaysia dimana beliau bertanggungjawab menemui ramai pemain muda Sarawak seperti Gabriel Nistelrooy (JDT FC IV), Amar Muaz Zamri (Sarawak FA), dan Filemon Standly (PKNP FC).

Oleh itu, kami telah andaikan beliau bakal menjadi Ketua Jurulatih Pasukan Belia Sarawak FA Sabtu lalu ekoran penukaran pusat latihan pasukan Belia Sarawak FA ke Miri.
Pendapat kami dibuat berasaskan hakikat Pasukan Piala Presiden Sarawak FA musim ini telah dipindahkan ke Miri agar ianya lebih dekat dengan jurulatihnya, Abdul Jalil Ramli dan Pengiran Bala.
Sungguhpun demikian, penafian Hakimi bahawa beliau belum ada ditawarkan jawatan tersebut bermaksud teka teki Ketua Jurulatih Pasukan Belia Sarawak FA akan terus menjadi tanda tanya sehingga pihak FAS mengumumkannya kelak.