Maklumat mengenai pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Sarawak telah melantik YB Encik Abdullah Haji Saidol sebagai presiden baharu persatuan bukan lagi menjadi satu rahsia. Abdullah Saidol dikatakan telah menerima tawaran tersebut, namun hanya akan mengambil alih tampuk kepimpinan FAS dalam masa tiga bulan. Sehingga tempoh tersebut, FAS akan berada di bawah pimpinan Abdul Wahab Rahim, Timbalan President FAS.
Langkah untuk melantik seorang tokoh politik yang mempunyai pengetahuan luas dalam dunia korporat merupakan langkah yang amat tepat dalam memenuhi keperluan FAS ke arah penswastaan kelab. Semua pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga Malaysia 2018 harus memiliki lesen kelab bola sepak profesional, dan pasukan Bujang Senang tidak terkecuali.
Di bawah pimpinan mantan Presiden FAS, Dato Sudarsono Osman, Sarawak berjaya bangkit semula dalam arena bola sepak tempatan. Sungguhpun demikian pasukan Bujang Senang masih gagal dalam liga utama bola sepak Malaysia dengan pasukan kerap terjerumus ke zon penyingkiran.
Sudarsono cuba untuk menangani masalah tersebut dengan membawa masuk barisan pemain dan jurulatih yang berkaliber pada 2016, namun, keputusan yang diterima masih dalam keadaan yang tidak memuaskan. Ini mungkin merupakan petunjuk bahawa dia telah mencapai kemuncak sebagai Presiden FAS.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan FAS (AGM) yang baru selesai tempoh hari, tidak ada seorang pun yang berani bertanding sebagai presiden. Malah, Sudarsono telah diminta untuk mempertimbnagkan semula keputusannya untuk tidak bertanding jawatan tersebut. Sudarsono menolak permintaan tersebut, dan pencarian presiden baharu masih berlangsung selepas Mesyuarat Agung Tahunan.
Semalam, seorang peminat bola sepak Manchester United bernama Abdullah Haji Saidol dipilih, dan latar belakang korporat beliau mungkin dapat memberi sedikit gambaran berkenaan apa yang akan dilakukan oleh tokoh politik berlatar belakangkan korporat ini.
Dengan kemahiran Abdullah di dunia korporat, kita hanya boleh menjangkakan bahawa dia akan mula membawa sentimen korporat ke dalam pengurusan FAS, dengan staf dan pemain yang kurang efektif mungkin akan ditunjukkan jalan keluar dari persatuan dan pasukan yang diurus, iaitu Sarawak FA.
Langkah tersebut akan mencontohi pengurusan kelab kegemarannya Manchester United, yang telah menyingkirkan kakitangan yang gagal menunjukkan prestasi yang baik termasuk pemain, untuk membolehkan individu yang lebih baik untuk datang dan menguatkan lagi pasukan.
Langkah penswastaan kelab-kelab dalam Liga Malaysia memerlukan Sarawak FA untuk mempunyai struktur yang betul, dengan pilihan pegawai yang tepat untuk menjalankan tugas-tugas tertentu. FAS di bawah pimpinan Abdullah, perlu bukan sahaja menjenamakan pasukan dengan cepat, tetapi juga perlu menjadikan Sarawak FA sebagai sebuah kelab bola sepak yang berfungsi dengan betul, dan bukan sekadar hanya berdaftar di atas kertas.
Walaupun dilihat seolah-olah kurang penting, logo pasukan bola sepak Sarawak perlu disegarkan semula. Penjenamaan semula pasukan juga perlu dijalankan untuk mencapai penonton global, jika bukan hanya rakyat Malaysia. Terdapat juga keperluan untuk mewujudkan perbezaan yang nyata antara persatuan bolasepak dan kelab bolasepak, sama seperti bagaimana Johor DT adalah kelab yang bernaung di bawah Johor FA.
Abdullah juga perlu memantapkan lagi laman sesawang FAS yang berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan. FAS dalam pada itu mungkin perlu mendapatkan khidmat profesional dalam merekabentuk laman sesawang yang menepati standard (atau jika mereka tidak mampu mendapatkan khidmat profesional, hubungi Joachim di 0128086262 kerana dia membantu kami membina laman sesawang kami) untuk membuat semula keseluruhan laman sesawang yang tidak dikemas kini dan dalam keadaan yang sangat daif. Hal ini kerana, kewujudan laman sesawang pasukan adalah amat penting, sama seperti pentingnya mempunyai kemas kini di media sosial yang terkini. Sebagai pengguna media sosial, kami percaya bahawa pandangan pertama kelab datang dari laman sesawang, dan jika FAS tidak memberi impak menarik pada laman seswang mereka, ianya akan memberi kesan terhadap kelab dalam jangka masa panjang.
Abdullah perlu juga melihat ke dalam barisan pasukan Sarawak pada ketika ini. Biarpun rombakan besar telah dijalankan musim lalu, usaha tersebut telah gagal untuk mendapat apa-apa momentum positif di dalam Liga Super. Dia perlu meneliti barisan pemain yang kurang menyerlah, dan mula melaksanakan perubahan jika mahu pasukan untuk terus berkembang dan bersaing. Langkah itu tidak harus terhad kepada jurulatih, tetapi juga pemain dengan mengetepikan mentaliti yang hanya mengutamakan pemain dari Sarawak untuk mendapatkan kemajuan. Peminat bolasepak Sarawak tidak akan menggemari tindakan ini, tetapi seperti yang kita katakan sebelum ini, peminat kini perlu memilih untuk kekal dalam saingan liga tertinggi Malaysia atau memilih untuk membangunkan pemain bolasepak Sarawak.
Di sudut peminat pula, Abdullah perlu menangani dengan teliti kumpulan penyokong yang vokal yang bukan hanya berpengaruh, tetapi mampu dan sanggup untuk menimbulkan kekecohan semasa permainan. ‘Pendekatan lembut’ Sudarsono dalam menangani kumpulan sebegini tidak membawa banyak perubahan dengan berlakunya beberapa kejadian yang tidak diingini sejak 2012. Abdullah pasti perlu untuk meningkatkan keuntungan kelab dan melihat kembali isu berkaitan harga tiket, serta tawaran semasa dengan syarikat-syarikat seperti Lea Sports Centre (LSC), Perbadanan Stadium Sarawak dan syarikat penerbangan yang sering digunakan oleh pasukan Bujang Senang untuk perlawanan di luar kawasan. Keupayaan untuk menyimpan dana akan memberikan pasukan lebih banyak wang untuk dibelanjakan ke arah perubahan pasukan yang lebih baik.
Banyak lagi sebenarnya perkara yang perlu dilakukan, namun secara ringkasnya, rombakan semula FAS perlu dilakukan oleh Abdullah. Semua pihak tahu bahawa tugas tersebut bukan mudah, dan Abdullah pasti mengetahui penyokong pasukan Sarawak sememangnya dahagakan kejayaan di dalam masa yang singkat.
Namun, sekiranya Abdullah serius dalam melakukan perubahan seperti pasukan kegemarannya, isu-isu tersebut haruslah diselesaikan. Dia juga harus mengendahkan kritikan yang dilemparkan oleh pihak lain dan terus fokus dalam melaksanakan pelan yang dirasakannya akan membawa perubahan positif dalam bolasepak Sarawak.
Jika tidak, pasukan Sarawak FA yang dikenali dengan panggilan Bujang Senang tidak akan berkembang dengan baik pada tahun-tahun yang mendatang.
Artikel ini merupakan terjemahkan artikel ini. Terjemahan dilakukan oleh Safri Ramle.