Semasa artikel ini ditulis, kenyataan media daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang tersiar di laman sosial sudah ditarik balik.
FAS dikatakan mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih Sarawak FA, Ian Gillan sehingga diberitahu kelak.
Kami merasakan ini merupakan satu tindakan yang amat tidak bijak, memandangkan Sarawak masih memerlukan khidmat beliau untuk mengharungi Challenge Cup, dan juga kontrak beliau yang dijangka tamat pada penghujung 2019 nanti.
Apa sudah jadi, FAS?
Adakah kerana FAS merasakan Ian sebagai satu liabiliti rentetan kemerosotan persembahan Sarawak musim ini?
Atau adakah kerana Ian lantang mempersoalkan tindakan FAS? Atau FAS bertindak kerana ada pemain yang cuba membelakangkan Ian dalam menentukan pasukan?
Ini adalah satu keputusan yang mencetuskan pelbagai persoalan, bukannya satu penyelesaian. Sebabnya, ini seolah-olah membenarkan ada sesuatu yang tidak kena dalam pasukan Sarawak mahupun pengurusan FAS.
Apabila ditemui selepas kekalahan di Selayang, Ian sendiri mengatakan bahawa ada isu yang berlaku dalam pasukan, dengan mengambil kira kemerosotan pasukan yang pada satu ketika berada di tempat kedua liga, terus jatuh ke tangga kelapan.
Ada pemain yang ditemui mengatakan mereka seronok dengan corak latihan kendalian Ian. Seharusnya ini tidak menjadi satu masalah yang boleh membuatkan pasukan beraksi buruk.
Jika beliau dan barisan kejurulatihan sudah memberikan yang terbaik, dan pemain selesa dengan corak latihan, apakah indikasi yang cuba disorokkan oleh FAS?
Kami merasakan bahawa ini bukanlah disebabkan kekalahan besar di tangan UKM FC. Ianya merupakan “langkah menyelamatkan diri” yang dilakukan bukan sahaja oleh FAS, bahkan beberapa pasukan lain dalam Liga Malaysia sejak dahulu lagi.
Kepada FAS, adalah lebih baik jika masalah ini ditangani dengan sewajarnya.
Penyokong, pemegang taruh dan penaja pasti meminta penjelasan terperinci tentang hal ini, jika ianya benar.
Bagi Ian, jika benar anda direhatkan, kami mengucapkan terima kasih atas jasa anda kepada Sarawak sejak awal musim dan selamat maju jaya. – SARAWAKCROCS.COM/RSI