FAS perlu pastikan kewangan cukup untuk pembangunan lain dan bukan sahaja Sarawak FA

Sebagai pentadbir bola sepak di Sarawak, adalah menjadi tanggungjawab buat Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengelola dan menguruskan pelbagai aspek berkaitan sukan ini yang mencakupi pelbagai peringkat.

Untuk melakukannya, sudah tentu kewangan persatuan hendaklah kukuh dan stabil, serta diuruskan secara cekap dan telus.

Umun mengetahui bahawa peruntukan tahunan FAS datangnya daripada Kerajaan Sarawak, geran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), penaja-penaja, hasil niaga dan usaha FAS Holdings dan usaha presiden FAS sendiri.

Majoriti peruntukan tahunan FAS disalurkan kepada pasukan utama Sarawak FA. Ini sebenarnya langkah yang kurang tepat kerana Sarawak seharusnya memiliki keupayaan untuk mencari dan mengurus kewangan sendiri.

Hampir RM15 juta diperuntukkan untuk segala hal-ehwal FAS, termasuk menguruskan pasukan-pasukan Sarawak (Liga Malaysia, Piala Presiden, Piala Belia dan wanita). Selebihnya disalurkan untuk pembangunan, pengurusan dan penganjuran kejohanan seperti Piala Sarawak. Bayangkan untuk satu game “away” Liga Malaysia di Semenanjung, setidaknya RM25 ribu akan dibelanjakan – penerbangan, penginapan, logistik, pengangkutan, dan lain-lain. Belum pasukan-pasukan lain lagi.

Jadi, apakah inisiatif yang telah dan perlu diambil oleh FAS?

FAS Holdings ialah badan komersil untuk FAS yang memiliki kepentingan bagi membantu menambah pulangan dan dana kepada FAS. Usaha ini amat dipuji, tetapi boleh ditambah baik lagi dengan melebarkan pelaburan ke dalam beberapa industri lain.

Melalui pasukan Sarawak, FAS boleh menggerakkan pemerdagangan jenama secara sendiri dengan kawalan sepenuhnya. Buat masa ini, FAS bekerjasama dengan Lea Sports Centre untuk usaha ini. Mungkin pada masa hadapan, FAS boleh keluarkan produk tersendiri?

Terdapat satu lagi inisiatif iaitu dengan menubuhkan satu tabung awam untuk membantu persatuan. Langkah ini mirip dengan Tabung Harapan Malaysia dan boleh disumbangkan oleh sesiapa saja dari seluruh Sarawak dan anak-anak Sarawak dari luar. Untuk FAS, setiap sen yang dibelanjakan daripada tabung ini hendaklah diberitahu kepada awam agar ianya telus dan tidak disalah gunakan.

Mungkin ada beberapa lagi cara yang boleh anda kongsikan bersama. – SARAWAKCROCS.COM/RSI

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top