Persatuan Bolassepak Sarawak (FAS) hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan media meminta penyokong yang bakal hadir ke Stadium Negeri agar tidak membakar suar, bermain/membaling mercun dan menggunakan bom asap ketika berada di dalam Stadium Negeri bagi perlawanan Sarawak menentang JDT Sabtu ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung FAS, sebarang tindakan demikian akan secara terus mengakibatkan Sarawak terpaksa bermain tanpa penonton secara automatik bagi satu perlawanan lagi, seperti yang telah dimaktubkan oleh keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia baru-baru ini.
Mengikut hukuman bersyarat yang dikenakan FAM bulan lalu, Sarawak perlu memastikan semua perlawanan di Stadium Negeri bebas insiden sedemikian selama enam bulan atau akan secara automatik diarahkan bermain tanpa penonton sekali lagi. Syaret tersebut adalah termasuk denda RM80K yang telah juga dikenakan kepada Sarawak.
Sebelum ini, Sarawak terpaksa melayan kunjungan Perak tanpa penonton selepas FAM menjatuhkan hukuman bermain tanpa penonton akibat rushan penyokong Sarawak dan insiden membakar suar di Stadium Negeri tahun lalu dan tahun ini.