Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) telah memohon untuk mendapatkan geran tambahan daripada Kerajaan Sarawak.
Menurut kenyataan rasmi di laman web rasmi FAS, FAS yang diketuai oleh Presiden FAS, Posa Majais serta diiringi lapan ahli exco FAS telah bertemu dengan Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (DR) Abang Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak di Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia kelmarin.
Dalam artikel sama, FAS menjelaskan bahawa misi utama lawatan tersebut adalah “untuk memohon geran tambahan dan memperjelaskan isu-isu berkaitan FAS secara teliti kepada Ketua Menteri Sarawak.”
FAS tidak menjelaskan isu-isu berkaitan FAS yang dibangkitan kepada Ketua Menteri.
Kenyataan tersebut juga menyebut bahawa hasil kunjungan tersebut adalah positif dengan Posa dipetik sebagai berkata bahawa Ketua Menteri telahpun bersetuju menambah geran tahunan FAS, namun jumlah tambahan juga tidak dinyatakan.
Dalam pada itu, Posa telah melahirkan penghargaannya kepada Ketua Menteri Sarawak kerana sudi membantu FAS.