Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menunggu keputusan rasmi dalam bentuk surat arahan daripada pihak kerajaan Malaysia berhubung saingan bola sepak tidak dibenar dilangsungkan walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilaporkan oleh Berita Harian sebagai berkata keputusan rasmi atau secara bertulis itu dijangka akan diterima badan induk terbabit minggu depan.
Menurut laporan akhbar tersebut, keputusan rasmi daripada kerajaan itu penting agar FAM dapat mengambil tindakan selanjutnya termasuk memberi penjelasan kepada pihak tertentu mengenai pembatalan liga seperti Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“FAM memang sudah bersedia dengan beberapa pilihan termasuk bahawa liga tidak akan diteruskan. Jadi bukan satu perkara yang mengejutkan berdasarkan pengumuman yang dibuat Menteri semalam.
“Kita tahu Menteri sudah jawab, ia boleh dianggap rasmi dan kita pun sudah boleh nampak (keputusan kerajaan). Cuma kita harap ada keputusan rasmi atau hitam putih yang akan dihantar pihak kerajaan kepada FAM.
“Kita jangka akan terima keputusan itu minggu depan. Ia kerana pembatalan turut membabitkan pihak lain seperti AFC dan sebagainya,” kata Yusoff kepada BH Sukan, semalam.
FAM melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan nasihat dan kelulusan untuk menggunakan prosedur standard operasi (SOP) yang perlu dipatuhi untuk menyambung semula Liga Malaysia.
Walaubagaimanapun, Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, telah menyatakan bahawa sebarang bentuk perhimpunan selepas pengakhiran PKP, termasuk bola sepak tidak dapat dibuat biarpun PKP telah diakhirkan.
FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah menangguhkan Liga Malaysia bermula 16 Mac lalu susulan pandemik COVID-19.