Empat pasukan di dalam Liga Malaysia sudah lengkap menjadi kelab bola sepak sepenuhnya.
Laporan Bernama memetik Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sebagai berkata bahawa 12 lagi pasukan sedang giat melengkapkan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).
Adalah juga dilaporkan bahawa enam pasukan belum lagi memulakan proses pemisahan pasukan dari FA kepada FC.
Nama pasukan yang sudah berjaya diswastakan tidak didedahkan oleh laporan berita itu.
“Proses penswastaan ini dipantau AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan kemungkinan FA yang tidak dapat menukar status kepada FC untuk bersama liga tahun depan, akan menghadapi masalah yang besar. FAM memerlukan kerjasama semua pihak.” kata Stuart kepada Bernama.
“Terdapat beberapa fasa dalam perubahan FA ke FC dan tahun ini merupakan fasa penubuhan FC secara rasmi. FAM mahu pastikan proses itu berjalan juga tahun ini dan selepas itu baru fasa peralihan pengurusan dan tanggungjawab.”tambahnya lagi.
Stuart juga menyatakan bahawa penularan pandemik COVID-19 dan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan negeri juga telah mempengaruhi proses penswastaan kelab.
“Ada kelewatan disebabkan COVID-19 dan disebabkan berlakunya berubahan pengurusan beberapa FA. Dengan kelewatan itu, FAM akan kerja lebih keras untuk memberi sokongan kepada mana-mana FA untuk proses ini dilaksanakan musim ini,” katanya lagi.