Dengan Liga Malaysia bermula tidak lama lagi, pihak Malaysia Football League (MFL) membuat ulasan berkenaan pasukan Sarawak United FC.
Dalam temubual ketua jurulatih Sarawak United, E Elavarasan dengan MFL, Sarawak United FC mengakui pasukan bimbingannya lebih berkualiti jika dibandingkan dengan musim lalu.
Beliau juga mengakui dapat merasakan bahawa pasukan Sarawak United mampu meraih sesuatu musim 2021 ini.
“Jika hendak dibandingkan dengan musim lalu, memang skuad ini lebih baik dan saya rasa kami boleh raih sesuatu pada musim ini dengan kehadiran pemain yang boleh beri kelainan kepada pasukan.” kata Elavarasen kepada MFL.
Sungguhpun demikian, jurulatih berpengalaman itu enggan terlalu yakin sehinggakan memandang rendah kemampuan pasukan lain.
Beliau tetap menegaskan biarpun pasukannya lebih berkualiti, banyak lagi kerja perlu dilakukan khususnya dalam soal taktikal dan keserasian pemain.
“Cuma saya tidak mahu situasi itu meletakkan kami terlalu yakin sehingga memandang rendah cabaran pasukan lain kerana masih banyak kerja perlu dilakukan dalam soal taktikal dan keserasian pemain.” ujarnya Elavarasan.
Elavarasan dalam pada itu juga mahukan pemainnya bersedia untuk mengharungi musim baharu dan beliau berpendapat Sarawak United akan mampu melakukan sesuatu sekiranya pemain bersedia sepenuhnya dan menggunakan pengalaman mereka dengan jayanya musim ini.
“Saya harap pemain mampu berada di tahap bersedia sepenuhnya sebelum perlawanan bermula dan berdasarkan pengalaman yang ada pada kebanyakan pemain baharu diambil musim ini, saya jangka kami mampu lakukannya,” katanya lagi.
Sarawak Unitd dilihat berbelanja besar musim ini untuk mendapatkan pemain dan jurulatih berpengalaman.
Antara muka baharu yang turut menyertai Sarawak United ialah Lee Chang-hoon, Tommy Mawat Bada, Amer Saidin, K. Reuben, Khair Jones dan Gopi Rizqi.
Sarawak United FC akan membuka tirai saingan Liga Premier dengan berdepan Kelantan United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 6 Mac ini.