‘El Classico’ penentu kejuaraan

KUCHING: Ibarat pertembungan ‘El Classico,’ perlawanan antara Sarawak dan Sime Darby malam ini di Stadium Negeri bakal menjadi penentu skuad mana berhak menjulang trofi Liga Perdana pada musim ini.

Di atas kertas, Sarawak dilihat mampu menamatkan rekod tanpa kalah Sime Darby jika mengambil kira keputusan pertemuan di pusingan di mana mereka berjaya mengikat skuad warga kota itu 0-0.

Namun, pengendali Sarawak Robert Alberts menegaskan kepada anakanak buahnya keputusan itu bukan penanda aras untuk memastikan kemenangan pada malam ini.

Sebaliknya, beliau mengingatkan para pemain agar berhati-hati dan memanfaatkan setiap peluang yang tercipta pada perlawanan itu nanti.

“Walau apa jua keadaannya, kita mesti menang pada perlawanan itu kerana hanya kemenangan dapat menjamin mahkota kejuaraan untuk Sarawak,” jelas Alberts semasa sesi latihan semalam. “Ini adalah peluang terbaik kita untuk memintas mereka dan menjadi juara.”

Bagaimanapun, menurut Alberts, pemainnya perlu berhati-hati dengan keupayaan pemain lawan terutama penyerang dari Croatia, Karlo Primorac yang telah menjaringkan hatrik dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Saya yakin pengendali Sime Darby Ismail Zakaria pasti mempunyai strategi berlainan kali ini. Justeru, kita perlu berhati-hati,” katanya.

Menurut Albert lagi, beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik ketika menewaskan SPA FC tempoh hari namun tidak menolak kemungkinan untuk melakukan perubahan strategi.

“Pemain berada dalam prestasi terbaik untuk menundukkan Sime Darby dan saya yakin kita mampu mengutip tiga mata berharga tersebut,” jelasnya.

Jika Sarawak berjaya menewaskan Sime Darby malam ini mereka akan merampas kedudukan pertama liga sejak saingan bermula Januari lepas.

Kedua-dua pasukan masih belum kalah setakat ini dan hanya dibezakan dengan dua mata di mana Sarawak mengumpul 37 mata manakala Sime Darby 39 mata.

Sumber: Utusan Borneo

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top