Sarawak akan mencuba dua pemain import tempatan pada bulan hadapan apabila latihan skuad Robert Albert bermula bagi musim 2015.
Menurut akhbar Utusan Sarawak, dua pemain tersebut adakah Faizal Abu Bakar (gambar) yang bermain untuk skuad Kedah FA, dan Khairul Naim yang bermain untuk pasukan DRB-Hicom.
Faizal Abu Bakar merupakan produk pembangunan bolasepak Kedah FA yang mana beliau telah bermain bersama skuad Piala Presiden Kedah pada tahun 2008 sebelum diserap secara sepenuh masa untuk bermain bersama skuad senior pasukan yang mendapat jolokan nama ‘Hijau Kuning’.
Beliau berumur 24 tahun pada tahun ini, dan pernah bermain untuk skuad Harimau Muda yang memenangi pertandingan Piala AFF di bawah kendalian K Rajagopalpada tahun 2010. Faizal yang bermain di posisi tengah, juga pernah dipanggil oleh Ong Kim Swee untuk menabur khidmat di dalam pasukan Harimau Muda setahun kemudian.
Khairul Naim pula telah bermain untuk DRB-Hicom (dulu dikenali sebagai POS Malaysia) sejak tahun 2005. Anak watan Ipoh ini berperanan sebagai penyerang dan memainkan watak yang cukup penting dalam kempen DRB-Hicom dalam Liga Premier pada musim lalu sungguhpun beliau hanya menjaringkan empat gol daripada 22 perlawanan.
Khairul yang berumur 26 tahun pada tahun ini dilihat mungkin menggantikan Akmal Rizal yang sudah digugurkan oleh pasukan Sarawak bagi musim 2015.