Jurulatih sementara Sarawak, David Usop, berjaya membawa pasukan Bujang Senang kepada kemenangan kedua malam ini selepas pasukan bimbingan beliau menewaskan Perak di Stadium Perak.
Gol-gol Sarawak dijaringkan oleh Junior Aparecido, Ndumba Makeche dan Gilmar da Silva Filho.
Bujang Senang yang memerlukan kemenangan bagi memperkemaskan kedudukan mereka di Liga Super bermula garang di dalam perlawanan tersebut dan berjaya mendahului perlawanan pada babak pertama melalui Junior Aparecido yang mudah menyudahkan sepakan penalti selepas Ndumba Makeche dijatuhkan.
Tersentak dengan gol itu, Perak berusaha untuk melancarkan serangan melalui serangan kilat, namun pertahanan Sarawak yang dikawal ketat oleh Hairol Mokhtar dan Davide Grassi bertindak baik memastikan serangan Perak tidak berkesudahan dengan gol.
Pada babak kedua, Sarawak berjaya mengandakan kelebihan apabila Ndumba Makeche mudah melepasi pertahanan Perak, sebelum beliau menolak masuk gol kedua Sarawak pada minit ke-66.
Empat minit kemudian, Gilmar da silva Filho pula menjaringkan gol untuk Sarawak apabila beliau dengan cantik melambungkan bola ke dalam gawang Perak.
Kemenangan Sarawak menyaksikan pasukan Bujang Senang naik ke tangga ke-9 Liga Super, sekaligus mencerahkan peluang pasukan bimbingan David Usop kekal di Liga Super.