KUCHING – Ketua Jurulatih Sarawak FA David Usop hari ini dipetik akhbar Utusan Borneo sebagai berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, meskipun tewas kepada pasukan Selangor FA di dalam perlawanan kedua Piala Malaysia Sabtu lalu.
David mengakui ketiadaan Mateo Roskam menjejaskan jentera serangan pasukan beliau, namun pasukan muda beliau, berjaya mengimbangi pasukan the Red Giants yang dibintangi pemain lebih berpengalaman seperti Francis Forkey Doe, Andik Vermansyah dan Amri Yahyah.
Di dalam perlawanan tersebut, pasukan Bujang Senang dilihat menggunakan taktik hantaran pendek dengan beberapa gerakan cantik berjaya dicipta melalui gerakan menarik Milos Raichovic dan Tommy Mawat.
Sungguhpun demikian, ketiadaan Mateo sebagai penyudah utama menyaksikan pasukan Sarawak FA gagal menyudahkan beberapa peluang yang terhidang, sekaligus menyaksikan Selangor FA menjaringkan dua gol hasil serangan kilat yang berkesan. – sarawakcrocs.com