Desas-desus mengenai pengganti Marcelo Serpa bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan pengendali dari Brazil itu terjawab apabila bekas ketua jurulatih futsal wanita negara, Chiew Chun Yong dipilih bagi menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih skuad futsal negara.
Secara rasminya beliau akan memulakan tugasnya bermula hari ini dan bakal bermula tugasan getir yang bakal dihadapi beliau berikutan beberapa kekusutan yang berlaku dalam arena futsal tanah air ketika ini.
Masalah ketiadaan penganjuran Liga Futsal Kebangsaan 2016 juga memperlihatkan sedikit masalah bakal dilalui oleh pengendali dari Pulau Pinang itu untuk mendapatkan barisan pemain terbaik untuk membawa cabaran negara dalam Kejuaraan Futsal AFF 2016 yang akan dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober hingga 6 November ini di Thailand.
Ketiadaan liga yang kompetitif mengakibatkan prestasi pemain akan terjejas namun kepakaran yang ada pada jurulatih yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan ini pastinya mempunyai ramuan yang secukupnya serta mempungai plan latihan terbaik dalam mengembalikan prestasi para pemain yang dipilih nanti.
Sebagai rekod, Chiew Chun Yong telah membimbing skuad futsal wanita negara memperoleh kejayaan tempat ke-4 dalam Kejuaraan Futsal AFC 2015 yang diadakan di Nilai dan juga membawa pasukan wanita Selangor menjuarai Liga Futsal Kebangsaan dan naib juara Piala Futsal Kebangsaan 2015.