Pemain tengah Melaka United FC, S Kumaahran menganggap banyak kerja rumah yang perlu dilakukan olehnya dan rakan sepasukan bagi memastikan mereka keluar daripada zon penyingkiran sebaik sahaja saingan Liga Super 2021 kembali bersambung pada 24 Julai depan.
Skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu akan memasuki latihan secara Camp Based Training pada Sabtu ini dan perlu menggunakan tempoh masa lebih kurang satu bulan ini untuk mengkaji semula kekurangan pasukan selepas hanya memperoleh tiga kemenangan sahaja daripada 13 perlawanan.
Kumaahran yang beraksi di bek kanan ketika bersama Pahang musim lalu menyifatkan aspek penyudah yang kurang berkesan sering menjadi masalah kepada pasukan untuk mencari gol.
Justeru, kehadiran dua pemain import baharu dari Brazil, Giovane Gomes da Silva dan Adriano Aparecido Narcizo diharap dapat membantu membuka lebih ruang bagi memburu jaringan selain mereka perlu segera membentuk keserasian terbaik sebelum liga kembali bersambung.
“Kami semua pun belum berpeluang untuk berjumpa lagi kerana masing-masing berlatih sendiri di rumah, jadi Sabtu ini baru kita akan menjalani latihan bersama.
“Apa yang perlu kita fokus adalah untuk mencari keserasian dan komunikasi antara satu sama lain juga cukup penting, jadi tidak boleh la kalau hari pertama latihan, kita buat tidak tahu atau tidak bercakap sesama sendiri.
“Untuk saya, ini bukan pasal kelemahan, tetapi kekurangan yang ada dalam pasukan kami iaitu tiada penyudah berkesan, jadi kita kena lebih bekerja keras kerana kita tidak boleh kehilangan mata lagi, kena pastikan menang selepas ini”, jelasnya.
Dalam pada itu, Kumaahran yang kerap membarisi kesebelasan utama bertekad untuk terus memburu jaringan peribadi selepas setakat ini telah meledak tiga gol dalam 11 penampilannya.
Dia secara peribadi merasakan prestasinya masih belum di tahap memuaskan dan mahu mencapai momentum yang lebih baik di sebalik prestasi tidak menentu pasukan ketika ini.
“Saya sendiri pun memang kena perbaiki banyak benda lagi dan itu yang saya tengah usahakan untuk memastikan prestasi yang lebih baik, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk pasukan juga.
“Saya juga ada sasaran sendiri untuk memburu lebih banyak jaringan, dan macam mana pun, kita kena guna tempoh masa yang ada ini untuk cari balik semangat baharu”, tambahnya.
Melaka United ketika ini berada di tangga kedua tercorot liga selepas mencatat 11 mata secara keseluruhan.