Pasukan bimbingan David Usop akhirnya akan diberi peluang untuk mempersembahkan permainan terbaik mereka apabila mereka bertandang ke Bandar Tun Razak, Jengka Sabtu ini ekoran keputusan pihak Media Prima menayangkan perlawanan Felda United menentang Sarawak FA secara langsung dari Stadium Tun Abdul Razak.
Perlawanan Liga Super yang berlangsung pada jam 9PM itu dijangka akan disaksikan ribuan peminat bolasepak tempatan, khususnya peminat pasukan Bujang Senang di Sarawak.
Sungguhpun demikian, rekod persembahan pasukan Bujang Senang apabila bermain di hadapan kaca TV agak kurang memberangsangkan sejak zaman Awang Mahyan lagi.
Sungguhpun kami tidak mempunyai statistik lengkap berkenaan semua perlawanan pasukan Bujang Senang secara langsung, namun ramai peminat setia pasukan tersebut pasti tahu bahawa Sarawak FA agak ‘gugup’ apabila diberikan siaran langsung dengan keputusan akhir perlawanan sering memihak kepada pasukan lawan.
Ini termasuklah untuk perlawanan penting seperti perlawanan akhir.
Dalam pada itu, aksi pasukan bimbingan David Usop di gelanggang lawan pada musim ini dilihat amat positif, dengan pasukan tersebut memungut tujuh mata kesemuanya dari gelanggang lawan.
Jika momentum tersebut diteruskan ke perlawanan Sabtu ini, adalah tidak mustahil pasukan Sarawak FA mampu mencatatkan kemenangan yang agak ‘rare’ serta bermakna di tempat lawan, sambil ditonton ribuan peminat bolasepak Malaysia.
Dengan pasukan Felda kini turut terumbang ambing, peluang Sarawak FA untuk melakukan kejutan di Stadium Tun Abdul Razak amat cerah, dan adalah diharapkan bahawa satu kemenangan disertai dengan persembahan menarik dapat ditunjukkan oleh pemain Bujang Senang.