Bujang Senang intai ‘lubuk’ baharu

Dengan tamatnya Sukan Malaysia kelmarin di Stadium Sarawak, timbul banyak persoalan jika Sarawak akan berpindah ke stadium serba moden itu selepas meninggalkannya untuk lebih lima tahun.

Menurut maklumat yang kami perolehi, pasukan Bujang Senang akan terus kekal menggunakan Stadium Negeri, Petra Jaya sebagai stadium utama bagi perlawanan bolasepak Sarawak buat masa ini. Menurut sumber SarawakCrocs, adalah agak sukar untuk pasukan Bujang Senang berpindah ke Stadium Sarawak yang baharu dinaik taraf, sungguhpun Sukan Malaysia (SUKMA) dan Suka Para-SUKMA berakhir.

Menurut sumber tersebut, perpindahan Sarawak ke Stadium Sarawak bukan sahaja akan memakan kos sewaan yang lebih tinggi kepada Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), malahan faktor saiz stadium tersebut juga perlu diambil kira.

Tambah sumber kami ini, bilangan penonton purata setiap perlawanan pasukan Sarawak musim ini kurang memberangsangkan, dan ini menjadikan Stadium Negeri sebagai tempat yang lebih sesuai bagi pasukan Bujang Senang bermain buat masa ini.

Selain daripada itu, perpindahan perlawanan pasukan Sarawak ke Stadium Sarawak perlu juga mengambil kira hal-hal pengurusan berkaitan peraturan pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dan juga Football Malaysia Limited Liabiliti Partnership (FMLLP). Beliau walaubagaimanapun menegaskan bahawa tidak wujud keperluan dan kesegeraan untuk berpindah stadium buat masa ini, terutama sekali apabila peralatan dan kemudahan di Stadium Negeri telah dinaik taraf baru-baru ini.

Sumber kami walaubagaimanapun tidak menolak hakikat bahawa FAS mungkin akan mempertimbangkan penggunaan Stadium Sarawak jika jumlah penonton semakin bertambah, dan sekiranya Sarawak memasuki perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia pada tahun ini. Beliau juga tidak menolak bahawa Sarawak mungkin juga berpindah ke Stadium Sarawak pada musim hadapan, tetapi terus menyatakan bahawa ianya masih tertakluk kepada pengurusan tertinggi FAS.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top