Bujang Senang harus bangkit bermula April

Peminat pasukan Bujang Senang sememangnya sudah ‘agak panik’ dengan kemerosotan pasukan kesayangan mereka baru-baru ini.

Manakan tidak, pemilihan bekas jurulatih pasukan bolasepak kebangsaan K Rajagobal pada penghujung musim lalu memberikan sinar yang terang tentang halatuju dan cita-cita pasukan bolasepak yang dijaga oleh Persatuan Bolasepak Sarawak(FAS), dan keputusan buruk kini adalah sebalik apa yang diidamkan ramai.

Situasi bertambah positif semasa pengumuman Rajagobal sebagai jurulatih baharu Sarawak musim lalu apabila beberapa ‘page’ atau laman-laman facebook peminat bolasepak Sarawak mengangkat keupayaan jurulatih berpengalaman itu sehingga ke langit, sakaligus menyemarakkan lagi harapan peminat di Bumi Kenyalang berkenaan pasukan kesayangan mereka.

Sungguhpun demikian, sejak Rajagobal mengambil alih kerusi panas di Stadium Negeri, pasukan bimbingannya belum mengecapi nikmat mata penuh di dalam Liga Super, dan telah tersingkir awal dari saingan Piala FA.

Peminat yang hadir ke stadium turut kecewa apabila mereka menyaksikan sendiri pemain yang dibawa masuk Rajagobal gagal memanfaatkan peluang yang ada, sekaligus memburukkan lagi situasi Sarawak di persada Liga Super, dan mengundang tomahan dan ejekan dari peminat yang kurang matang.

Namun, bagi peminat yang berfikiran matang, ketiadaan kemenangan selepas lima perlawanan bukanlah satu masalah besar kerana mereka mengetahui bahawa Rajagobal sedang membina sebuah pasukan untuk masa hadapan. Mereka sedar bahawa Sarawak sedang berusaha mengubah corak permainan selepas hampir lima tahun di bawah jurulatih dari Belanda, Robert Alberts. Mereka sedar tugas yang digalas Rajagobal tidak mudah, dan memerlukan masa, dan pemain yang dibawa masuk perlu menyesuaikan diri sebagai satu pasukan.

Sungguhpun demikian, peminat pasukan Bujang Senang yang matang ini juga sedar bahawa pasukan kesayangan mereka perlu mula menang bermula April ini, kerana pasukan mereka tidak akan mampu bersaing di Liga Super dengan hanya dua mata.

Sarawak juga perlu meletakkan diri di kedudukan 10 pasukan teratas Liga Super selepas perlawanan ke-11 sekiranya ingin bersaing di Piala Malaysia kelak, dan kutipan mata yang rendah akan menggagalkan hasrat ini.

Dalam pada itu, Rajagobal perlu memastikan pasukan bimbingannya mula menang pada April ini kerana jika Sarawak kekal di dalam keadaan kini, ianya bukan lagi satu keraguan bahawa Sarawak akan kembali ke Liga Premier pada musim hadapan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top