Pihak pengurusan Borneo Soccer League (BSL) KL menyimpan hajat besar untuk menghantar sebuah pasukan berasaskan pemain dari Borneo Malaysia ke Liga Malaysia, dimulakan dengan Liga FAM atau mana-mana liga yang diiktiraf.
Menurut Pengerusi Penganjur BSL, Vinceton Garawat, penyertaan ke Liga FAM, atau satu liga yang diiktiraf oleh badan seperti Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ataupun Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) adalah untuk menonjolkan bakat-bakat dari Borneo.
Beliau memberi bayangan bahawa pasukan tersebut akan diberi nama Borneo United Football Club (BUFC) kerana ianya akan menggabungkan pemain dari Sabah dan Sarawak di bawah satu pasukan.
Tambah Vinceton, dengan penyertaan ke liga tersebut, bakat-bakat yang ada daripada Sabah dan Sarawak boleh dikembangkan dengan cara lebih baik dari yang ada kini, dan rangkaian sesama semua penduduk dari Borneo boleh diperbaiki lagi.
Bagi membolehkan BSL bergerak ke arah itu, pihak pengurusan BSL telah mula melihat ke arah pasukan-pasukan di dalam BSL bagi mengenalpasti bakat-bakat muda yang ada dan boleh diketengahkan.
Walaubagaimanapun Vinceton mengakui bahawa kekangan dana kini menjadi penghalang terbesar kepada hasrat mereka untuk bergerak lebih cepat, tetapi tetap optimis bahawa peluang untuk melahirkan BUFC bagi pertandingan liga yang diiktiraf bakal tercapai jika ada penaja yang mempunyai impian yang serupa dengan pihak BSL.