Tahun 2019 sudahpun menutup cerita bola sepak Sarawak dengan pelbagai suratan duka.

Paling pahit bagi peminat bola sepak Sarawak adalah penyingkiran pasukan Sarawak FA ke Liga M3 musim 2020.

Walaupun begitu, tahun 2020 membayangkan pelbagai pembaharuan di dalam arena bola sepak Sarawak.

Dengan pasukan Sarawak FA bakal bermain buat pertama kali di Liga M3, tumpuan kini mula khusus kepada pasukan baharu milik Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) yang diberi nama Sarawak United.

Pasukan yang dilihat mempunyai peruntukan cukup besar (berdasarkan khabar angin yang kini bertiup), disasarkan untuk ke Liga Super 2021.

Presiden FAS, Posa Majais nampaknya optimis dengan langkahnya mengambil alih pasukan Selangor United dan menjenamanya kepada Sarawak United kerana ianya ‘mengubat’ sakit yang sebelum ini giat melanda pasukan Sarawak FA.

Dalam pada itu, masalah kewangan yang sering melanda Sarawak FA sebelum ini juga dilihat tidak akan berlaku kepada pasukan Sarawak kerana Malaysia Foootball League akan memastikan semua pasukan Liga Malaysia akur akan Pelan Kawalan Ekonomi (ECP) sekaligus memastikan perbelanjaan pasukan Sarawak United di dalam had yang mampu.

Satu lagi pasukan yang bakal menarik minat peminat bola sepak Sarawak adalah pasukan Kuching FA.

Pasukan kerdil ini dilihat sangat berjaya sejak ditubuhkan dan ramai peminat tidak sabar untuk menyaksikan Kuching FA bertarung buat pertama kalinya di liga profesional Malaysia.

Kuching yang khabarnya bakal diperkuatkan beberapa pemain bintang dijangka akan memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia pada musim hadapan selepas mengharungi musim yang sangat menarik pada musim 2019.

Dalam perkembangan sama, peminat bola sepak Sarawak juga kini sedang menunggu nasib yang bakal diterima pasukan Sarawak FA.

Biarpun sah akan bermain di Liga M3, nasib pasukan utama Sarawak itu dilihat tidak dipedulikan sejak kebelakangan ini dengan pasukan Piala Belia miliknya, kini sah dijenama semula kepada pasukan belia Sarawak United.

Ini sekaligus menyaksikan nama pasukan Sarawak FA mula hilang sedikit demi sedikit, dan hala tuju pasukan ini kini di dalam keadaan terumbang ambing, dengan kemungkinan ianya terus dibubarkan oleh pemiliknya, FAS.

Apa-apa pun, tahun 2020 menjanjikan banyak perkara baharu kepada bola sepak Sarawak, namun peminat pada dasarnya mahukan perubahan kepada cerita yang telah saban tahun menjadi lumrah bola sepak Sarawak.

Adalah diharapkan bahawa tahun 2020 akan membawa banyak keceriaan kepada arena bola sepak Sarawak.