Beri kerjasama agar Liga Malaysia boleh bersambung

Pengarah Bahagian Perubatan Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Kamarul Hashimy Hussein menjangkakan isu penularan wabak COVID-19 ini tidak akan berpanjangan dalam tempoh yang lama sekiranya langkah penjagaan dilakukan dengan lebih baik selepas ini.

Jelasnya, semua peminat sukan tanah air akan dapat kembali menikmati acara sukan termasuklah saingan Liga Malaysia 2020 dengan lebih cepat sekiranya rakyat Malaysia dapat bekerjasama mengambil langkah pencegahan dengan lebih teliti bermula sekarang.

Bahkan, pihak kerajaan juga sudah memutuskan agar semua perhimpunan termasuk acara sukan ditangguhkan sehingga 30 April ini tetapi keputusan tersebut akan diteliti semula jika situasi COVID-19 bertambah baik.

“Kalau kita sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, buat pencegahan, saya percaya situasi ini tidak akan berlanjutan lama.

“Untuk sekarang ini, saya boleh katakan kita jangan tekan butang panik lagi, tetapi sekarang kita kena sentiasa berada di tahap pencegahan yang lebih baik sebelum keadaan menjadi lebih teruk lagi”, jelasnya.

Dr Kamarul ditemui pada Mesyuarat Khas Isu Wabak Covid-19 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) pada Jumaat lalu yang menyaksikan Presidennya, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin memutuskan agar semua kejohanan di bawah kelolaan dua badan induk itu ditangguhkan bermula esok (Isnin) sehingga ke tarikh yang akan diputuskan kemudian.

Tambahnya, ISN sentiasa memandang serius mengenai perkara seperti ini lebih-lebih lagi apabila melibatkan aspek kesihatan para atlet, pegawai, pemain bola sepak negara termasuklah penyokong sendiri dan sudah semestinya mereka menyokong sepenuhnya keputusan bersama FAM dan MFL.

“Kami di pihak ISN memang ambil serius mengenai perkara ini kerana kita tahu wabak ini masih belum ada vaksin lagi.

“Jadi, kalau nak menjalankan perlawanan juga, bermain di stadium tertutup adalah yang terbaik untuk ketika ini sehinggalah bermula Isnin, semua perlawanan ditangguhkan.

“Walaupun kita bagi peluang untuk mereka bermain pada minggu ini, tetapi kebajikan penyokong kena jaga sebab kalau kita benarkan mereka hadir, bayangkan satu stadium berkemungkinan beribu-ribu orang.

“Dan akan jadi isu besar kalau ada satu atau dua yang positif COVID-19, sudah pasti akan menimbulkan panik untuk ribuan penyokong yang lain dan untuk itu saya menyokong penuh keputusan dibuat FAM dan MFL,” katanya.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top