Ahmad Fairuz Yunus telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan Piala Presiden Sarawak FA 2020.
Menurut laporan akhbar Utusan Borneo, Ahmad telah diberi kepercayaan untuk membimbing skuad bawah 23 tahun Sarawak FA untuk kempen SUKMA 2020 di Johor.
Laporan akhbar sama turut menyebut bahawa ini adalah kali kedua Ahmad dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan tersebut. Beliau juga pernah melatih pasukan SUKMA Sarawak pada tahun 2018.
Pelantikan Ahmad Fairuz diumumkan oleh Abdillah Majid yang mana turut menyatakan bahawa tugas Ahmad adalah untuk mengemudi pasukan Piala Presiden Sarawak 2020 dan juga pasukan SUKMA Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020.
Abdillah dipetik sebagai berkata “Pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) sebulat suara melantik Ahmad Fairuz untuk membimbing skuad Piala Presiden 2020 di mana beliau juga akan mengetuai skuad SUKMA 2020.”
Jika kami tidak silap, Ahmad merupakan bekas pemain bola sepak Sarawak FA pada 90-an di mana beliau bermain di bahagian pertahanan bersama Mazelan Wahet.
Selain pernah membimbing pasukan SUKMA 2018, Ahmad juga pernah melatih pasukan Frenz United Football Academy (FUFA), dan pasukan bawah-14 tahun Malaysia.
Beliau juga pernah menabur bakti sebagai Ketua Jurulatih pasukan Kuching FA pada musim lepas.
Ketua Jurulatih pasukan Piala Presiden Sarawak FA sebelum ini adalah Abdul Jalil Haji Ramli.