“Banyak lagi yang saya mahu sumbangkan kepada Sarawak” – Davide Grassi

Dengan peminat pasukan Sarawak menyatakan mereka mahukan pasukan mereka diperkuatkan menjelang pintu perpindahan bulan Jun ini, SarawakCrocs telah berjaya menghubungi pemain pertahanan Sarawak, Davide Grassi, bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai khabar angin bahawa beliau bakal digugurkan dari pasukan Bujang Senang.

Pemain berusia 30 tahun itu mengakui beliau sangat suka bermain untuk Sarawak, dan berharap perkhabaran tersebut tidak benar. Menurut Grassi, beliau belum mendengar sebarang berita sah mengenai khabar tersebut sehingga kini.

Pemain pertahanan yang berpengalaman itu turut menyatakan bahawa keluarganya juga suka akan kehidupan di Sarawak kerana peminat Bujang Senang amat baik. Beliau turut memuji keramahan rakan seperjuangan beliau yang sentiasa sedia membantu.

Apabila ditanya berkenaan harapan segelintir peminat yang mahukan dirinya digugurkan, Grassi menyatakan bahawa itu adalah lumrah bolasepak. Mengulas tentang itu Grassi menyatakan bahawa di dalam bolasepak, ada peminat yang akan menyukai dirinya, dan ada yang sebaliknya. Oleh yang demikian, Grassi enggan mempedulikan khabar tersebut tertapi hanya mahu fokus memperbaiki persembahan dirinya, dan memberikan yang terbaik untuk pasukannya.

Grassi turut mengakui bahawa pasukan Sarawak sebelum ini mempunyai masalah menjaringkan gol, dan masalah itu seperti sudah diatasi kini. Beliau turut menokok bahawa pertahanan Sarawak kini juga semakin ampuh apabila hanya membenarkan mereka dibolosi sekali, yakni melalui tendangan penalti.  Tambah Grassi, beliau walaubagaimanapun berpendapat bahawa penalti tersebut tidak harus diberikan.

Pemain kelahiran Itali tersebut turut memberitahu bahawa beliau sentiasa memberikan persembahan terbaik apabila bermain untuk Sarawak kerana beliau merasakan peminat dan kelab bolasepak Sarawak perlu dihargai dengan persembahan terbaik.
Davide Grassi 2016
Sambil menyifatkan beliau masih belum puas memberi sumbangan kepada Sarawak, Grassi berharap peluang akan diberikan agar beliau akan terus memberikan lebih banyak sumbangan kepada Sarawak sambil berharap pasukan yang kini dibimbing David Usop, terus melakar keputusan yang positif, termasuk juga di dalam Piala Malaysia.

Jika dikira, Grassi kini telah berkhidmat dengan pasukan Bujang Senang selama enam bulan. Beliau dipuji oleh ramai peminat kerana mempunyai kadar kerja yang tinggi di atas padang, dan berupaya memberi arahan kepada rakan sepasukan beliau bagi memperkukuhkan barisan belakang Sarawak.

Sungguhpun demikian, segelintir peminat masih tidak berpuas hati dengan persembahan pertahanan Sarawak, dan telah mengambil keputusan menyalahkan Grassi di atas jumlah bolos yang besar pasukan Sarwak di Liga Super.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top