Pasukan Bolasepak Terengganu (PBSNT) telah diberi kata dua oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat berkenaan pencapaian musim 2016.
Menurut Rozi, PBSNT telah meminta lebih RM20 juta daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan kerajaan negeri mahukan keputusan yang terbaik, yakni membawa balik sekurang-kurangnya satu piala untuk musim ini.
Jika gagal, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap PBSNT pada musim hadapan.
Rozi yang tidak mendedahkan apakah ‘tindakan’ tersebut, turut menambah bahawa PBSNT sudah dimaklumkan oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu dan PBSNT sedar akan syarat yang dikenakan.
Terengganu dilihat antara pasukan yang membuat persiapan rapi pada musim ini. Pasukan pantai timur itu bukan sahaja dilihat berjaya menandatangani beberapa pemain import berkualiti, malahan telah mengejutkan peminat bolasepak negara dengan menandatangani tiga pemain tempatan ternama yaitu Joseph Kalang Tie, Amirizdwan Taj dan Yong Kuong Yong.