Ketua Jurulatih Sarawak FA, Pengiran Bala telah memberi indikasi jelas bahawa beliau akan lebih mengutamakan baki perlawanan Liga Super apabila beliau dilaporkan oleh akhbar New Sarawak Tribune sebagai akan menurunkan pemain-pemain simpanan untuk perlawanan malam ini menentang Terengganu FA.
Bala dipetik sebagai berkata bahawa ianya satu risiko (menurunkan pemain simpanan), namun pemain utama beliau kini masih keletihan dan perlu direhatkan bagi menghadapi perlawanan Liga Super yang lain.
Jadual Liga Malaysia yang ketat telah secara langsung mempengaruhi kecergasan pemain, dan pemain perlu direhatkan agar mereka boleh beraksi seperti biasa, khususnyan ketika perlawanan Liga Super.
Dalam pada itu, Bala turut berharap bahawa tindakan beliau memberi rehat kepada pemain utama pada perlawanan Piala Malaysia menentang Terengganu FA akan memberi keputusan positif kepada Sarawak FA yang akan bertemu PKNS FC Sabtu ini di tempat sendiri.
Sarawak FA akan turun menentang Terengganu FA malam ini di Stadium Negeri untuk perlawanan ke-tiga Piala Malaysia. Dua perlawanan sebelumnya menyaksikan Sarawak FA tewas, dan kini menghuni tangga terbawah Kumpulan D.