“Sepanjang 14 tahun saya bermain bola sepak dengan pasukan Kedah, sampai bila-bila saya tidak akan lupakan apa yang terjadi pada perlawanan malam ini. Itu pengakuan ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar selepas kejayaan penuh dramatik skuad Lang Merah menyingkirkan Pahang untuk layak ke final Piala Malaysia 2019.
Bukan sahaja tiada siapa menjangkakan aksi perlawanan di Stadium Darul Makmur bakal berkesudahan agregat 8-8 namun karakter ditunjukkan Kedah sudah cukup menceritakan semangat juang Baddrol dan rakan-rakan.
Menurut Baddrol, dia amat berpuas hati dengan kejayaan itu untuk menangkis pandangan betapa Kedah tiada peluang untuk mencipta kejutan ke atas Pahang yang diletakkan sebagai pasukan pilihan mara ke pentas final.
“Pasukan Pahang adalah sebuah skuad yang kuat dan mempunyai kualiti tersendiri, dan ramai orang tidak memilih kami untuk layak ke final pada tahun ini tetapi malam ini kami menepis setiap kritikan itu.
“Bagaimanapun, saya tidaklah memikirkan sangat segala kata-kata itu kerana cuba mengambilnya daripada sudut positif untuk Kedah dan terima kasih kepada semua yang menyokong kami sejak daripada dulu, “ katanya.
Baddrol juga mengakui jaringan penyamaan ketiga yang dilakukan pada minit ke-85 menjadi titik tolak kebangkitan Kedah selain memadamkan sedikit api perjuangan Pahang kerana berjaya menyamai jaringan di tempat lawan skuad Tok Gajah.
“Semasa 3-2 itu, saya sudah tekadkan dalam hati mahu meletakkan bola ini secara ‘drive’ ke dalam kotak penalti dan saya harap ada rezeki untuk kami dapatkan jaringan.
“Alhamdulilah tidak jangka bola itu masuk dan saya berbangga dengan semangat perjuangan kami sebagai satu pasukan dan paling penting, kami beraksi di atas satu jalinan kerjasama yang tinggi, “ katanya.
Selepas kedudukan terikat 5-5 pada 120 minit permainan, Kedah meraikan kejayaan mara ke final menerusi peraturan jaringan di tempat lawan.
Dalam pada itu bagi penyerang import Kedah Jonatan Bauman, dia menganggap 120 tempoh permainan yang diharungi itu adalah detik yang cukup ‘gila’.
“Memang satu perlawanan yang cukup menggilakan dan tidak pernah terfikir sehingga 5-5 kami mengakhiri permainan tetapi kami layak mendapat tempat di final.
“Kami menunjukkan satu sikap tidak kenal erti berputus asa ke atas pasukan Pahang walaupun mereka diiiringi puluhan ribu penyokong sendiri untuk sentiasa menyerang.
“Bagaimanapun, kami bermain mengikut taktikal diarahkan jurulatih dan menyerang bila perlu serta tidak mensia-siakan peluang dimiliki untuk mendapatkan jaringan, ” katanya.