Khabar yang cukup menggusarkan dan memeranjatkan peminat bolasepak tempatan timbul hari ini apabila wujud spekulasi menyatakan bahawa stesen televisyen berbayar negara ASTRO telah mengambil keputusan tidak membida untuk hak siaran Liga Malaysia.
Salah seorang pemberita serta personaliti Astro Arena, Rizal Hashim dalam pada itu enggan mendedahkan secara terperinci berkenaan isu tersebut tetapi hanya menjawab “satu kemungkinan yang cukup besar” ketika ditanya peminat di twitter.
Walaupun hanya spekulasi buat masa ini, jawapan yang diberikan Rizal sedikit sebanyak telah menambahkan kegusaran ramai peminat bolasepak Malaysia yang inginkan liputan lebih menyeluruh berkaitan Liga Malaysia musim hadapan. ASTRO dilihat mampu berbuat demikian selepas melaksanakan tugas yang cukup baik pada musim 2014.
Dengan yang demikian, berita ASTRO membuat keputusan tidak bidaan hak siaran Liga Malaysia telah diterima dengan nada negatif oleh ramai peminat bolasepak tanahair yang telah mengharapkan ASTRO, melalui rangkaian Astro Arena-nya, kembali menyiarkan perlawanan-perlawanan Liga Malaysia selepas diketepikan pada musim lepas selepas tewas bidaan penajaan siaran kepada syarikat MP dan Silva.
Buat masa ini walaubagaimanapun, berita tersebut hanyalah spekulasi namun jika ianya terbukti benar, ianya pasti akan memberi tamparan hebat kepada pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang ditubuhkan MP dan Silva kerana pihak FMLLP, melalui tender hak penyiarannya, dilihat cuba memastikan liputan Liga Malaysia pada musim ini (2016) lebih menyeluruh melalui kerjasama stesen televisyen berbayar dan percuma.