Kempen kompetitif bola sepak untuk Sarawak bagi tahun 2018 telah pun berakhir dengan nota yang menyedihkan.
Dengan 2018 masih berbaki tiga bulan sehingga ke tahun baharu, perkara ini adalah sesuatu yang tajam menikam buat penyokong.
Kecuali skuad wanita Sarawak yang menjuarai saingan Piala Tun Sharifah Rodziah tahun lepas, pencapaian lain Sarawak dalam semua peringkat amat mengecewakan. Walaupun skuad Sukma seakan memberi sinar, tetapi kegagalan mencatatkan sebarang kemenangan menampakkan kemalapan bakat muda yang menghantui pembangunan bola sepak negeri.
Usah diceritakan mengenai skuad utama yang semakin tenat, pembangunan akar umbi di Sarawak sebenarnya seakan indah khabar dari rupa. Bukannya tidak ada bakat yang menonjol dari negeri yang sungguh luas ini tetapi kegagalan pentadbir sukan negeri, terutamanya Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) membentangkan struktur jelas kepada umum bagi membangunkan bakat ini dengan lebih giat.
Mengapa perlu berahsia dengan struktur, sekiranya ada? Jika kita lihat pada laman web FAS, ianya seakan terbiar tanpa dikemas kini. Paparannya agak ketinggalan tanpa maklumat dan tarikan yang sepatutnya dimiliki oleh sesebuah kelab atau persatuan bola sepak.
Bagaimanakah penaja, ejen, penyokong dan penggiat sektor sukan di Sarawak mengikuti perkembangan jika wadah utama seperti laman web seakan sepuluh tahun terkebelakang? Media sosial FAS adalah sokongan kepada laman webnya, tetapi itu pun kurang maklumat untuk dipaparkan.
Kembali kepada kemalapan bakat muda, senario ini ialah kebimbangan yang harus ditangani. Jika dahulu kita boleh berbangga dengan kualiti pemain dalam hampir semua pertandingan, dari Sukma sehingga Liga Super, kualiti yang ditunjukkan pada masa kini amat mengecewakan.
Bukanlah kita menidakkan sebilangan bakat muda yang benar-benar menonjol, tetapi realitinya selagi FAS tidak kukuh untuk merangka struktur pembangunan bakat muda, jangan hairan jika dalam masa beberapa tahun akan datang, bola sepak Sarawak hanya dikenang pada sejarah.
Lupakan keghairahan untuk mewakili pasukan utama Sarawak. Kepada bakat muda negeri, tonjolkan kemampuan anda dengan mempamerkan prestasi yang bagus, sama ada dalam kejohanan MSSM, NFDP mahupun liga komuniti.
Jangan tunggu FAS untuk menaikkan anda. Sekiranya anda menetap di luar Sarawak, banggakan negeri dengan bermain di tahap lebih tinggi di rantau orang. Tiada sesiapa pun yang boleh membuang jati diri Sarawak dari diri anda, walau di mana anda berada. – SARAWAKCROCS.COM/RSI